31 March 2013

Hujung minggu yang celaka.

  Dia sendirian lagi di kamar. Bangunnya awal, lepas solat subuh dia melakukan senaman ringan sebelum menyediakan sarapan pagi. Sang ibu melihat aneh kelakuan anak lelaki tunggalnya. Jarang jarang malah tidak pernah anaknya membanting tulang di dapur untuk memenuhkan perut darah dagingnya. Usai rutin rutin biasa yang luar luar biasa baginya itu selesai, dia naik ke bilik semula. Modem jalur lebar sudah pun dibuka dari awal lagi. Hari minggu, mentarinya baru mula memanjat tapi bahang sudah lekat pada jasad.
  Dia menagis semahunya selepas mengunci bilik agar tiada siapa yang akan mendekati. Ada sebuah jam loceng di atas meja komputernya, dengan pantas dia rentap jam itu dan mengeluarkan punca kuasa di dalamnya. Bunyi itu ada lagi. Membingitkan hingga memaksa dia menutup kedua telinga sambil matanya terus menerus membuang air mata. Hatinya berkecamuk. Kalau sehari mendengar bunyi itu, sudah membuat dia tidak keruan, apatah lagi tiga hari ! Dalam tiga hari itu dia tidak dapat tidur lena hatta walau dalam mimpi, bunyi itu menjengah ganggu menghalau mimpi indah yang bakal membuai dia terhanyut lena. 
  Satu hari ada 24 jam. Satu jam ada 60 minit dan satu minit ada 60 saat dan dari setiap saat ke saat seterusnya akan menghasilkan getaran jarum jam. Tapi bagi dirinya, getaran itu telah bertukar kepada ketawa. Ketawa yang seperti mengejek dia yang menahan sendu berbatu batu pada perawan yang tidak tahu akan statusnya dalam tiga hari ini. Segala puisi pujangga yang dia layangkan dalam corak corak askara ditemukan kepada perawan atas cara digital tipikal manusia berhubung tidak terbalas. Dia terus menangis mencari apa apa lagi yang bikin bunyi ketawa itu.
  Masa sepertinya sudah berhenti dalam bilik dia. Semua punca kuasa sudah dihapuskan. Kecuali jam dalam komputer riba. Kalau jarumnya berbunyi, sudah tentu komputer ribanya sudah jadi arwah sekarang. Seluruh ruang rumahnya kini bebas dengan jam analog yang berfungsi. Apabila sang ibu bertanya dia hanya akan menjawab,"hari isnin hidupkan balik" sambil menyerahkan sel sel kering yang diibaratkan nyawa pada jam. Dia benar benar benci hujung minggu tanpa rancangan. Duduk terperuk dalam kubikel walau punya internet berkelajuan maksima itu tidak mampu memujuk kesepian tanpa perawan. Dengan jarum jam yang galak ketawa celaka padanya yang masih batak menunggu, dia tidak akan tahan.
  

No comments:

Post a Comment