30 December 2016
Saya tidak keseorangan.
Gelap yang mengurung rasa bahagia para manusia
Gelap yang melahirkan ketakutan pada yang tidak kelihatan
Gelap yang memimpin sisi hitam menyelam ke hati hingga menjadi legam
Saya tidak merasakan malam itu gelap
Apabila langit bertukar hitam
Sedang kawanan burung pulang ke sarang
Dan cengkerik sudah tidak diam
Bersimpul dengan paluan ombak kecil yang girang
Saat itu saya ikut sekali melayang
Melihat batu batu di langit bercahaya terang
Dengan tiba tiba hilang semua bunyian alam
Apabila engkau mula bersuara dengan pandangan yang dalam
Memberitahu akan rindu ini sebenarnya
Ditanggung kita berdua
24 December 2016
Pantai yang meniup perkataan.
Sebab dah nak hampir dengan tahun depan
Saya akan ceritakan saya punya impian
Saya amat sukakan laut dan pantai
Dari pukulan angin sehingga deruan ombak ; ia mencipta damai
Jika sempat saya mahu membina rumah
Di tepi pantai di bawah rimbunan pohon rambutan
Rumahnya kecil molek tidak sentuh tanah
Dari pintu utama terhampar luas lautan
Di antara rumah dengan lautan
Saya akan bina satu lagi mini lautan
Yang saya akan penuhi dengan simbol dan perkataan
Beberapa petikan dari orang ternama
Saya aduni biar sebati bersama
Kerana saya sukakan kesimpulan
Jika ada masa terluang tidak pernah saya siakan
Saya lantas terjun ke lautan kesimpulan
Berenang indah dan
Mengharap setiap percaturan
Adalah kecelakaan
Yang disengajakan
Bagaimana rentak engkau sebenarnya.
Bagaimana rentak engkau sebenarnya
Saat aku ke kiri, engkau ke atas dan terus tiada
Apabila engkau hadir, tidak pula melafaz kata kata
Bagaimana rentak engkau sebenarnya
Dari langit yang merekah melindung kilat
Aku memaksa pelangi keluar dengan seluruh kudrat
Demi lengkungan bahagia di bibir
Malangnya hanya resah hadir membanjir
Bagaimana rentak engkau sebenarnya
Aku bina sendiri istana percaya
Aku tanam sendiri sayang dan cinta
Dan engkau terus diam membisu bahasa
Bagaimana rentak engkau sebenarnya
18 December 2016
Yang terancam.
15 December 2016
Saya hanya boleh berangan.
Mahu menampung segalanya
Namun saya terus mencuba
Merakam setiap gerak geri kita
Setiap nafas yang terlepas
Setiap nadi yang menari
Tidak mahu satupun yang terhempas
Setiap satunya adalah kesakitan menuju mati
Dan senyuman yang saya tagihkan
Semoga dapat dinikmati
Kerana itulah satu satunya selimut yang memeluk
saya selepas seharian dirogol duniawi
Malangnya ia tampak pudar
Saya sedih dan saya sedar
Telah sepenuhnya saya dirogol mengelilingi
waktu yang berputar
14 December 2016
Engkau yang memaksa aku menulis.
Tentang perihal kita yang semakin manis
Kerana aku itu tamak malah tidak mahu berkongsi
Aku mahu sendiri menikmati bersama engkau,
manisan hati.
Jika aku terus menari bersama celaka
Apa engkau akan kekal ada?
Membawa senyuman pinjaman syurga
Menghalau hitam yang terus terusan melanda
06 December 2016
NAZ,ILY.
Kenapa pula bertaburan kelopak mawar dekat laman?
Kenapa perlu cinta kalau ia tidak sehebat gila?
Kenapa masih kaku kalau rindu sudah tidak tertampungan?
01 December 2016
Silap, dimana kamu?
Sedangkan saya terus merana menatap hiba
Di manakah silap saya
Kurang memberi atau terlebih meminta
Pasrah sudah tidak terkira
Walaupun bukan hak mereka
Mereka tetap terima
Walaupun ditentang rakyat jelata
Senangnya hati puas terasa
Di manakah silap saya
Apakah tidak cukup santun berdoa
Atau mengharap yang tidak kena
24 November 2016
15 November 2016
Fuh!
Laki laki yang runtuh
Dua dua ikut roboh
Tiada lagi gaduh
Apa lagi angkuh
Sudah, pergi jauh jauh
13 November 2016
Aku cuba menolak tetapi saya mahu juga menulis.
12 November 2016
Sayang.
Saya sedih la.
Sedih sebab tak tahu kenapa saya sedih.
Kau memilih, sayang.
Salah ke saya memilih? Untuk kebaikkan saya juga.
Ia aku jadi bencana jika ia keterlaluan. Lihat saja diri engkau.
Boleh awak peluk saya?
Dengan senang hati, sayang. Mari. Biar hilang gusar itu.
Memang benar. Kadang kadang tidak perlu perkataan. Cukup dengan tingkah laku.
Iya sayang. Kau sudah semakin membesar. Biar aku memelukmu sampai siang.
Sampai bila bila boleh?
:) Boleh.
Terima kasih. (:
11 November 2016
Terlalu lambat untuk tersinggung.
Rindu boleh jadi sial
Bila subjek yang lama kau kenal
Tidak lagi seramah dulu
Kini asing dibawa bayu
Cuma perhati dari jauh
Apa hidup apa naik apa jatuh
Bak tayangan filem lama
Yang watak utamanya
Sudah tinggal seorang diri
Kau sudah mati dan telah diganti.
08 November 2016
Itulah, siapa suruh bernyawa.
Bertubi tubi tanpa rasa malu
Walau sedia tahu dungu
Dan saya yang menjadi mangsa
Menelan yang perlu sahaja
Mendakan yang mahu dijadikan suara
Suara yang akhirnya ditiup angin cuma
Celaka.
20 October 2016
Siur
Sasaran mengena dan
Mula berteleku dilanggar waktu
Pada yang diidamkan
Mudah dicapai lalu
Puncak selesa tidak dingin lagi
Menolak tubuh agar kembali merusuh
Takut mati?
Atau pergi tanpa diingati.
15 October 2016
Penting
Dalam diam aku semakin sayang
Membalut rindu dalam dalam
Tanpa hiraukan gundah gulana yang menyerang
Kian menyala terang tidak mahu padam
Rekahan yang jatuh ke lantai
Aku kutip lalu aku tampal
Pada lohong lohong yang pernah terabai
Pada senyuman yang haranya kekal
14 October 2016
Bengkok
Kalau tidak berani menari dalam hujan
Jangan berteduh pada sang awan
Titis yang melaju berbeza beza
Membawa suka duka dalam sama irama
Menyentuh daerah deria
Melagukan perasaan semasa
27 September 2016
Miskin.
Sudahnya berbalik pada tetapan
Yang menjadi pegangan
Mencetus pedoman
Hilangkan tekanan
Bunganya asal ketawa
Tersenyum manja
Tiada duka
Bahagia
Itu sudah cukup
Sudah cukup untuk terus hidup
Walau tiada sentiasa
Walau tiada bersama
Kerana rindu adalah bahagia yang mengelirukan.
23 September 2016
Pari pari badi.
Tidak cukup pada pesanan ringkas
Rasa untukmu biar meluas
Sepanjang lautan alam maya
Menembus realiti yang menyesakkan dada
Secara tidak sengaja dia membantu
Memeluk para ego dan nafsu
Menceroboh ruang selesa tanpa bersalah
Selagi kamu ada, saya takkan kalah
20 September 2016
Saya sudah boleh mati dengan segala fantasi ini.
Tapi saya takut ia menyimpang
Jadi saya padam dan cuba cari yang penting
Yang muat muat dan tidak membuat runsing
Sebenarnya cuma teruja
Kagum juga sebenarnya
Pada jiwa yang punya kebolehan
Memanipulasi hati ikut persekitaran
Tanpa mengusik perasaan
Tanpa mencemarkan fikiran
Apa rahsia
Apa tipu daya
Boleh beritahu saya?
Sebab saya ingin menyembuhkan hati
Seorang perawan yang saya sayang sampai mati
14 September 2016
Pantun macam tak serasi.
yang tidak henti henti membuat jiwa sendu seorang
diri dipukul terik suria dan rembulan yang mengintai di balik lalang.
Entah apa yang memaksa untuk menulis tentang keindahannya
walaupun sudah jelas dunia nyata sering dijamah bencana
dari manusia untuk manusia kerana manusia
tetapi masih sempat menjamah cinta dari dia
Rayu diri jangan terpukau
Walau dengan jelas dia memukau
Biar serata santuni masa
Senantiasa namanya meranap hiba
13 September 2016
NA.
Meminjam patah pujangga
Dijadikan bunga
Menghias pintu rumahnya
Sehingga dia tiba
Sehingga dia tidak membuangnya
12 September 2016
Saya merasakan saya terlalu obses.
Dua puluh empat jam ghairah menyusun kata
Sama sekali tidak peduli akan perasaan
Yang engkau paksakan agar seiring dengan perkataan
Cuba lihat apa dalam akal fikirmu
Apa yang tinggal adalah sisa baki
Yang berulang kali dimainkan lidahmu
Yang sudah tiada tempat buat perasaan berbakti
Ulang
Ulang
Ulang lagi
Dan ulangi lagi
Sehingga kering tasik ilmu
Sehingga busuk akal fikirmu.
11 September 2016
Dia aku rapat, seperti manusia dan mayat.
Aikon baru.
Berpada pada meluah rasa
Rasa suka boleh jadi bisa
Bisa saja hari hari bercinta
Bercinta bukan sekadar bahagia semata
08 September 2016
Bahu.
Apa engkau tidak kasihani hatimu, sayang?
Aku baru sedar ianya sebuah kesilapan.
Sepatutnya engkau tidak membiarkan perasaan mu itu bertaburan pada laluan.
Aku tidak mahukannya. Ia bikin jiwaku parah. Boleh engkau hukum dia buatku?
Jika engkau tidak meminta, aku tetap akan menghukumnya tetapi pelakunya itu waktu. Sesuatu yang halimunan. Aku tidak mampu.
Tidak mengapalah. Selagi bahumu dan pelukan itu buatku, ia cukup buat aku rasa selamat.
Semuanya untuk kamu, sayang. Sudah, esok bantu aku pungut perasaan engkau ya. Biar aku cantumkan lalu bingkaikan dalam kamarku.
Baiklah. Malam ini aku bawakan bintang buatmu. Genggam tangan ini dan nikmati tidurmu, kasih.
06 September 2016
Dari jari tengah buat jari tengah.
Disebalik pangkat dan kuasaku
Kerana dengan kuasaku
Aku bisa mencipta alasan
Yang menjadi kambing hitam
Menangkis pencemaran teguran
Agar aku dan engkau (egoku) terus meraja
Mentadbir cerdik pandai yang tidak ada nama
Masih ramai si bodoh yang bersama kita, kawan.
05 September 2016
Mengagumi adalah nikmat yang paling celaka.
Tidak ada sesiapa yang pedulikan
Lebih lebih lagi kejatuhan engkau tidak bikin uang mereka runtuh
Lagikan pada mereka mereka yang engkau pilih untuk mengasihan
Semuanya celaka yang menghias dunia
Membentuk bunga bunga seribu warna
Sedangkan pada keadaan nyata
Engkau meringkuk sendiri digomol masa
Menikmati bala sial penuh nikmat laknat
Mengagumi keadaan indah yang tidak pernah melekat
02 September 2016
Aku cuma tunggu panggilan itu.
Agar aku menceritakan keadaanku di sana
Tidak akan aku layan seperti sang kekasih
Itu bukan perihal yang menarik, ujarku
Dan tidak ada kena mengena dengan dia
Sosok gelap tidak peduli lalu aku terluah rindu pada kekasih
Dan apa yang berlaku selepas itu adalah
Malam malam tanpa elektrik yang panas dan berlengas
Tetapi aku masih dingin dan sepi berteman rasa bersalah
Dan rasa itu entah bila akan pergi membiarkanku bebas
29 August 2016
Mungkin bila saya diam, tidak akan ada cerita yang terpadam.
Itu bukan sasaran utama
Walaupun ia nampak besar
Tetapi pada mata saya ia pudar
Dalam laluan yang saya pilih
Mata serta cara pandang saya semakin pulih
Atau boleh saja dikata rosak
Oleh mereka yang gembira di dalam kotak
Walaupun ia nampak ringkas
Ia masih impian yang tidak jelas
Yang perlu susun atur langkah
Agar tidak silap pangkah
Tentang apa yang perlu ditujukan
Besar kecil laju perlahan
Masa depan adalah dongeng yang disembah
Dan semalam tidak ada yang digelar sampah
20 August 2016
Reben buat diri sendiri.
engkau punya titik penting ketika
temubual bersama mereka
Seingat aku tidak pernah kita
mempersoalkan perihal tadi
selama kita bersama
Entahla
Aku cuma terkejut dan
itu ialah reaksi pintas dengan
separa akal berfungsi
Untungnya aku ambil sedikit
masa untuk menyusun kata dan
mengawal nada serta perasaan agar
tidak nampak apa yang disorok di sebalik
topeng
Aku setuju dengan pendapat engkau
itu dan berharap ianya memberi
kesan pada mereka
Hormat dan tanggungjawab itu
berkait rapat
Sebagai sahabat atau sebusuk palat
18 August 2016
Masa yang tidak suntuk.
Sehingga engkau tidak membalas sudah
Sepatutnya saya tidak perlu
Perhatikan engkau tanpa jemu
Lihat
Bagaimana hari hari yang merapat
Aku lalui dengan tujunya engkau aku dapat
Nampak tamak dan mual dan muak
Gopoh yang perlu dihempas hingga retak
Berderai lalu diganti dengan tenang
Dan senang dan menang
Menghampiri engkau tanpa lahir rasa rimas
Cuma terzahir nikmat ringkas
15 August 2016
Mata duit duitan.
04 August 2016
Sejak itu saya tidak riak lagi.
Mata pena pada asas kesengsaraan
Walaupun secara jelas
Saya terus mencari keperitan tanpa belas
Dan pada hari ini baru saya sedar
Apabila kepala mula berpinar
Kolam mata yang hangat
Jiwa rasa sakit sangat
Rupanya belum seluruh jiwa saya teroka
Masih ada daerah yang tidak dijamah gelora
Sejak itu rasa mahu ketagih
Atau ketagih untuk rasa letih
01 August 2016
Apabila sekian lama.
Jika kalian terlalu pantas dan
Terasa tidak tekejarkan
Saya mohon tinggalkan
Apa yang pernah kalian
Capai dan
Saya yang perlahan
Ini mahu merakam setiap adengan
Pemikiran kerana keindahan
Kalian yang pernah singgah di jalan
Tidak akan membuat lintasan
Lagi sekali kerana melawan
Fitrah adalah sebuah kesalahan
28 July 2016
Suri.
Aku baik baik saja. Lama tidak engkau ke sini. Apa sudah punya hidup baru?
Lebih kurang macam itulah. Aku cuba serap resap apa yang baru dalam ruang hidup aku.
Engkau suka hidup kau sekarang?
Aku suka. Cuma aku kadang kadang rasa kosong.
Bukankah engkau suka sunyi, sayang?
Iya. Tetapi ada satu satu masa yang sunyi itu tidak menyebelahi aku. Ia menyakitkan.
Kau rindu aku tu. Heheh.
Benar. Aku rindu engkau. Rindu untuk bercakap dengan engkau.
Boleh saja engkau bercakap dengan teman teman yang lain kan.
Tetapi kata katamu memelukku seperti pelukan ibu yang menghangatkan bayinya. Ia satu destinasi yang aku mahu habiskan nyawa di sana.
Engkau masih ingat janjiku. Sampai bila bila aku akan ada buatmu.
Begitu juga denganku. Hey, jenguklah aku bila percuma ya.
Kalau aku bisa keluar dari sini, sudah tentu aku ke sana tiap waktu.
Hahah. Maaf maaf. Baiklah, akan aku cuba kerapkan pertemuan kita seperti selalu.
Tidak usah berjanji. Aku tidak peduli lagi. Hati ini memang buat engkau dan aku wujud kerana cinta engkau yang tersumpah.
Buat aku rindu. Itu kebolehanmu. Sampai jumpa, sayang.
Ita sayang. Sampai jumpa.
18 July 2016
Aku tahu aku tidak tahu.
Tak ada hujan yang merintik
Tak ada kumpulan ombak
Tak ada daun yang mengalun rentak
Tak ada
Ternyata tidak ada yang mahu bicara
Walaupun diri kedua
Atau aku yang mahu sunyi tiba
Atau aku sedang membunuh semua deria
Buang.
Tidak ada yang sia sia sepanjang hidup saya
Iya benar
Apabila kenangan menerjah kasar
Rasa menyesal bertunas mekar
Tetapi itu cuma sekilas
Kerana kemahuan muncul sebelum kelakuan
Dan diri sendiri sebagai punca
Akui serta ingkari segala goda
14 July 2016
Teruskan saja membisu.
"Kerana aku pengamal kejujuran jadi aku tidak banyak perlukan aku."
"Mungkin engkau tidak menjaga hati mereka sangkaku. Mungkin."
"Apa engkau tahu sempadan di antara menjaga hati dengan kejujuran, sayang? Tunjukkan padaku."
"Aku tidak tahu. Tetapi aku tahu yang menilai setiap tingkah laku dipengaruhi masa dan tempat pada setiap situasi."
"Masih banyak lagi kecantikan dalam mindamu yang belum aku teroka. Sungguh aku sayang bukan kepalang."
08 July 2016
Nenda.
Tahun ini mahu satu taman
Nasib baik tidak dipanjangkan
Nasib baik tidak jadi bahan perbualan
06 July 2016
Shaww al.
Raya sambut tahun sekali
Ajal yang pergi takkan kembali
Usah peduli
Hidup hedonis sampai mati
Tanpa maaf, lebaran tetap dirai.
Salam syawal.
04 July 2016
Merafak
Memberi khidmat dan menerima berkat
Antara suci dengan niat
Atau semata mahu dilihat
Kerana kabur mengapa menyembah
Siapa tuhan ketika susah
Lain pula apabila mudah
Bezanya cuma hati
Rambut hitam tidak cuma yang asli
01 July 2016
Milik orang aku pandang.
Tiada aku lihat apa apa patah kata
Tiada puisi atau madah bicara
Di mana engkau tumpahkannya
Sayang
Aku kecewa bukan kepalang
Pena dan kertas sudah terhalang
Kata dan rasa tidak lagi sepasang
Usang dalam masa menanti tumbang
29 June 2016
Memujuk raja rajuk.
Sudah tidak lagi kosong
Penduanya tidak lagi marah marah
Tidak lagi mahu main darah
Diam diam wahai kawan
Saya sudah sediakan makanan
Cukup untuk kita sebulan
Berbincang rancak di dalam tarian
Waktu yang pegun kaku
Mempersoal fiksyen dalam buku
Macam dulu dulu
27 June 2016
Mendengarnya ulang ulang buat aku muak.
Dan mataku bertemu dengan tubuhmu
Satu suara terbit tanpa aku sedari
Bercerita tentang kisah yang aku
Tidak pernah kisah
Kerana sebenarnya suara itu sudah
Sedia lama aku dengar
Barusan kini aku sedar
Yang itu suara aku sendiri
Dan ia terbit ketika aku merenung
Koleksi bacaanku yang mematung
Lalu ia mula bercerita tentang
Kisah kisah yang pernah aku dendang
Seraya memaksa aku mencari
Naskah lain untuk aku terokai
Bulan terlalu besar buat kamar.
Walaupun saya di dalam kamar
Oh itu bukan bintang
Itu adalah pilihan manis pahit
Berlegar legar
Keluar dari ruang fikir yang samar
Yang gagal memilih dengan tenang
26 June 2016
Marah
Tinggikan suaramu tanpa gundah
Bersama bahasa bahasa kesat
Serta caci maki yang meluncur pesat
Jika engkau puas marah marah
Dan bersedia untuk terima padah
Tanpa engkau tahu bila
Dan bagaimana peritnya
Sepertimana egomu terbakar
Dan mereka yang sudah tercalar
Menjadi tuan pada akal
Dijaga tuhan sehingga ajal
Terawal dikawal.
Di balik kelambu kini tidak lagi sunyi
Datanglah dia pada saya
Menampar nampar rupa
Akhirnya kenangan lama termuntah jua
Mungkin tertekan
Tertelan ruang larangan
Hingga kosong minda dengan angan angan
Pelangi tinggal hitam
Anak sungai hilang jeram
Saya melayan sangat rasanya
Saya cuma perlu mendua
Dan utamakan melodi suka
Masa rasa panjang
Dalam kesempitan yang telanjang
Teguh mematuh takdir
Utuh tidak jatuh pandir
22 June 2016
Sekurang kurangnya bukan fiksyen.
Kerana memilih ialah hak persendirian
Dan apabila membicarakan soal hak
Perlu ada batasan dalam sesiapa yang berhak
Tentang batasan pula
Ia tertakluk pada apa yang dipercaya
Kepercayaan membuatkan sempadan fikir yang mempunyai tilam empuk yang
selesa tanpa tertekan mahupun berasa terkutuk.
Pilihan untuk percaya pada apa untuk memetapkan batas pada tahap mana
untuk tidak mencabuli hak warga semesta yang lain.
Pembalut luka.
Pada salah satu jari di tangan ; lupa
Merah pekat tidak mahu berhenti
Boleh jadi masa itu saya susah hati
Dia bantu saya merawat luka
Kerana bukan saya tidak mampu
Kerana saya mahu cipta cerita
Bagaimana dia dan saya bertemu
Rupanya selepas itu dia dan saya tiada
lagi peluang untuk bertemu
Kelmarin malam dengan saksi para buku
Di dalam rimbunan manusia
Saya lihat dia berkaca mata seperti dahulu
Tenang tanpa peduli sesak meraja
Lalu mata kami bertemu
Seperti biasanya saya dalam keadaan keliru
Tidak seperti dia yang tiada ubah reaksi rupa
Detik itu sekejap cuma
Kerana kenangan
Jadinya berpanjangan
16 June 2016
Perlabuhan.
Semasa ditemuduga
Saya mememuduga
Pada waktu yang sama
Menggarap naskah baru
Konsonan dan vokal seperti dahulu
Cuma lebih sunyi kerana keliru
Jalan hidup yang menipu
Atau keputusan hidup yang nyalakan sumbu
15 June 2016
Keliru, itu yang saya tahu.
Tidaklah mudah
Mudah saja mahu mengalah
Patuh akur pada majikan gila
Perkara biasa
Waktu kerja sembilan lima
Sebelum subuh sudah beratur
Tenggelam suria terus beratur
Lima hari digari masa
Dua hari dicandu leka
Alah bisa tegal binasa
Duduk tengah tengah
Juga punya mengah
Lelah memilih dunia
Yang hidup kaya raya
Atau papa meringkuk di atas para
Terikut ikut arus perdana
Takut tertinggal dipandang hina
Hilang dalam kelompok elit
Tiada semata mimpi mengulit
08 June 2016
Seperti mereka bercerita.
Tumpul.
Tidak ada rasa cinta
Rindu juga tidak menyapa
Mungkin ada
Tetapi dihalau ribut sepi
Menjerit jerit sunyi
Bosan
Tersesat di laman selesa
Dibuai lalai bersulam leka
Tumpul fikiran
Melantun setempat dan
Mati kepenatan
03 June 2016
Normal.
Sendirian di bahagian belakang
Bersama dua lagi manusia
Pemandunya si bujang
Seorang lagi kabur dari pandang
Cuma berselisihan lalu hilang
02 June 2016
Layak.
Engkau itu purnama
Mungkin juga suria
Atau aurora
Tidak pula gerhana
Jika di darat pula
Engkau itu bunga
Mungkin juga madunya
Atau apa saja
Selagi ia indah di mata
Manusia
Engkau banyak gelaran
Selayaknya takhta buat perawan
Kerana engkau misteri
Misteri mengubat luka atau membaka benci
30 May 2016
Pergi yang kembali.
29 May 2016
Serata.
Tidak seperti kelmarin aku kemari
Debu yang dahulu miliknya seni
Sudah raksasa jasadnya
Semakin hitam warnanya
Tidak terjangkau hamisnya
Tertunduk tunduk mereka itu
Di atas garis masa buatan mereka
Mereka mereka sistem sedia dipalu
Rencana mencabul tertib manusia
Dalam mereka aku manusia
Patuh cara acuh tidak acuh
Bila sendiri aku hamba
Jatuh bangun buat tuhan pemberi
teduh
28 May 2016
Pipi yang berlekuk.
tidak sekejam engkau yang
mengukir senyum bukan pada
aku walau sekali cuma
Mungkin kerana kita
berada dalam takungan berbeda
Aku sudah tentu kotor
Engkau suci tersadur
Melihat pada nyata penuh nista
Takut malah kecut meratap hiba
Untuk bersatu lalu sempurna
Dalam juraian fitnah dunia
Engkau tahu
Aku tahu
Sistem kian celaru
Dunia kaku dipandu nafsu
27 May 2016
Minat.
Minat untuk berubah.
Minat akan berubah.
Minat sesuatu yang berubah.
Berubah minat.
Berubah itu minat.
25 May 2016
Sebentar.
Apa mataku terlihat pedih?
Hari-hari semalam bersama tulisanmu.
Mengapa dengan tulisanku?
Askaranya menangis titiskan air mata.
Ia dari hatiku.
Tidak mahu cerita padaku?
Bagaimana dengan cerita padamu aku bisa tenang?
Aku tidak janjikan tenang, bahu ini buat engkau seorang
Sedih bikin aku melahirkan idea, sayang.
Dan engkau tidak apa-apa dengan terusan begini?
Ia tidak akan lama kerana aku sudah ada pengganti
Semoga dia adalah suri yang menyempurnakan suria hidupmu
Kerana dengan emosi yang jatuh, pena ini jatuh ikut akalku
23 May 2016
Perempuan dalam kaca mata.
Melintas lalu berjalan malas
Malas menoleh aku yang lapar
Lapar menjadi temanmu diwaktu
sukar
Setiap apa dalam pilihan
Pilihan dia aku perhatikan
Perhatikan samada beda laluan
Laluan aku terus terusan dalam bulatan
Awan yang tidak menjamu langit
Langit yang sepi teriak bingit
Bingit aku kehilangan dia
Dia yang kini terus bahagia
21 May 2016
Muat
Antara nafas nafas berkarat
Mahu tidak mahu harus jumpa
Tidak perlu dicemar jiwa yang hebat
Para korban letupan fitnah merata
Ruang yang terhad tidak semalanya muat
20 May 2016
Longgar
sesuatu naskah itu gila
Tidak pernah sesaat pun
engkau sentuh malah menyantun
Engkau tidak perasan
Aku yang tertekan
Acapkali mendengar rengek esakan
Dilaung-laung namau pinta disatukan
Engkau mana percaya
Cuma mahu hidup dengan gaya
Walau ilmu paras buku lali cuma
Mudah salah jatuh cinta
14 May 2016
Rupa.
dengan cermat bila dia
menenggelamkanku secara
paksa
Aku biarkan malah
aku tidak marah
bahkan merasa bersalah
bikin dia rebah
dalam helah berdarah
13 May 2016
A
Helaian tudung melitup mencipta ombak
Pada setiap keramaian umpama selimut sutera
Kau gagal memadam jejak
Mana mungkin senyuman itu aku lupa
Walau tidak selalu
Aku rasa kita seteru
Mungkin pada masa lalu
Kapan lagi mahu bertamu
05 May 2016
Jangan samar.
Apatah lagi jeram jemu
Engkau tiada makna
Tiada kamus mahu meraba
Mekar rindu setaman
Pada negeri hati yang aman
Ada masa mahu semuka
Ada rasa sudah lama dahaga
04 May 2016
Tidak berani hantar ini buatmu.
Tidak pernah aku lihat rupamu
Yang ada cuma purnama
Hadir tak pernah jemu
Walau jarang aku lihat
Sepertimana rindu yang likat
Tidak terungkap
Tidak terucap
Kerna takut tidak dibalas
Kerna takut luka meluas
08 March 2016
Setentang.
Yang bergantungan yang melambai lambai
Walau tidak faham akan apa yang ditatap
Tetap dipimpin ke serata dunia dengan tegap
Kerana perempuan adalah paling indah dikalangan bunga bunga
Paling payah dicadang gerak gerinya
Paling sayang akan kehilangan mereka.
28 February 2016
Pergi pulang.
Mungkin empat, mungkin juga enam benjolan kekal.
Peniaga kecil menambat umpan.
Sunyi bertukar deruman kenderaan yang bersiulan.
Beratur tidak teratur.
Sesak disulam caci maki dalam bertutur.
Haluan kiri isyarat dihulur.
Yang tegang semakin lengang.
Melungsur damai, antara kita kian renggang.
Memayungi itu adalah adunan besi-batu yang panjang.
Kiri kanan sarangnya air.
Pantulan suria mendendang syair.
Untuk temulang tidak mencair.
Kota besar pinggir desa.
Tujunya manusia pelbagai bangsa.
Tidak perlu peduli mereka.
Tujunya kita masih jauh berjela.
Ada pembinaan separa langsung.
Bendera amaran tergantung.
Awas ligat berhubung.
Samada kiri atau kanan.
Sasaran tetap jua tersampaikan.
Misi memburu santapan.
Mukadimah hidup terus diamalkan.
Memulau tumbuhan hijau.
Segenap deria turut terpukau.
Hari ini, semalam dan masa depan yang galau.
Terus dilindung tuhan dari risau.
10 February 2016
Kalau macam tu, siapa yang nak menasihati saya?
Tetapi walaubagaimanapun, diri saya sendiri memainkan peranan penting iaitu melebihi peratusan yang tinggi dalam menjayakan proses meneruskan budaya menulis ini.
Baiklah, selesai keluhan saya. Yang tidak akan habisnya barangkali. Oh kejap. Saya rasa ia berkait rapat dengan apa yang saya mahu tulis kali ini. Sejak bila saya perlukan topik pun saya tidak pasti tetapi dengan topik, penulisan akan menjadi lebih tersusun. Itu jika mahu ketengahkan apa yang mahu disampaikan. Jika hanya menari diatas bahasa, tiada topik pun tak apa kerana menari di atas bahasa itu sendiri merupakan topik.
Saya jarang mencari seseorang untuk menasihati saya. Jika saya cari pun, ia hanya untuk mempersetujukan apa yang saya perkatakan. Tapi tidaklah saya bagitahu apa putuskan, cuma pertanyaan atau perbualan itu akan melibatkan pendapat saya sebelum bertemu dengan mereka (penasihat).
Orang yang layak menasihati diri sendiri adalah diri sendiri. Kerana diri sendirilah yang memahami diri sendiri. Eh, saya rasa pening pula dengan kata-kata saya ni. Sebentar....
Baiklah, kita sambung. Kebanyakkan orang bilang, kita tidak layak menasihati diri sendiri kerana yang nampak perilaku kita adalah orang lain. Jadi orang lain yang nampak perilaku kita. Ya betul. Itu adalah dari perspektif mereka dan mereka dan mereka sehingga seberapa banyak mereka yang menasihati saya. Apa-apa pun terpulang pada kita mahu memilih samada ia boleh digunapakai ataupun tidak.
Apabila diri sendiri yang menasihati diri sendiri berlaku, saya sedar bahawa tidak boleh tidak saya kena menerima nasihatnya walau bagaimanapun. Ini kerana, pertama, ia adalah perbualan antara saya dan 'saya' dan 'saya' itu berada dalam diri saya. Sudah tentulah 'saya' tidak akan mensihati yang bukan-bukan kerana 'saya' juga akan melalui apa yang saya akan laluinya.
Mari terus ke pergulungan. Secara keseluruhan, menerima nasihat dari orang lain merupakan pilihan yang mana setiap dari mereka mempunya pandangan terhadap kita yang berbeza tetapi menerima nasihat diri sendiri adalah perlu berikutan pengalaman hidup yang ditempuhi bersama. Selalulah menasihati diri sendiri atau dalam ertikata lain, rajinlah cakap sorang-sorang sebab apabila sendirian, kita akan lebih kenal diri kita.
Selebihnya berdoa dan terus mencari redha Illahi.
02 February 2016
Tiru.
Itu adalah tidak sepenting kedudukannya di mata umum. Saya berasa kasihan apabila meniru itu dilabel perbuatan yang terkutuk dan tidak diiktiraf dalam kamus kebaikkan. Mungkin ianya kerana ia tidak disertai dengan akad minta izin dari orang yang kena tiru daripada si peniru. Jika ianya mempunyai akad, sudah tentu ia tidak dibilang meniru, bukan?
Masalahnya muncul apabila yang kena tiru itu tiada. Dalam istilah lainnya, mati. Celah mana saya mahu meminta izin? Melalui pewaris? Betul ke pewaris atau mereka yang terdekat itu betul tahu tentang hal yang mahu saya tiru? Dan seterusnya bertubi tubi persoalan yang hanya bikin muak membina mendakan dalam fikiran.
Mahu tidak mahu perlu minta izin. Samada pada yang kena tiru mahupun pewaris. Samada niat mahu meniru atau sekadar memenuhi kehendak manusia normal yang tidak normal dalam hal-hal kehidupan sebagai manusai. Sedapkan hati, kata orang.
Sudahlah. Sebenarnya mahu tulis perihal lain, lain pula yang ditulis. Selamat meniru, semua!
28 January 2016
Akhir Januari.
Habis masa dan akal dipukal
Celaka riang berdansa
Merenyuk saku yang baru berganda.
17 January 2016
Dah ada duit, kenapa nak susah-susah lagi.
Tiada.
Cuma apa yang mereka dan kita tayangkan sekarang adalah budaya yang dievolusikan oleh masyarakat terdahulu agar ia menjadi selari dengan era kini. Kebergantungan pada wang ringgit semata. Kertas bertukar tangan dan impian sudah menjadi pemilikan. Konon-konon mudah.
Lalu tersisirlah cara hidup manusia yang sebenar benar manusia. Diletakkan di dalam hutan, dimana manusia terdahulu tinggal. Para pencinta alam semulajadi mula berebut-rebut belajar hidup cara lama. Pakai apa yang ada, apa yang dibawa. Meninggalkan sistem aku-ada-duit-aku-boleh-ada-semua sementara. Duduk beratapkan langit berlantaikan tanah yang hanya dipisahkan satu lapisan. Menjaga kebersihan sekililing dan bertegur sapa sesama mereka. Indah, sungguh indah.
Dan hari terakhir tuba jua. Semuanya berkemas mahu pulang ke kota. Usai bersalam-salaman bertukar nombor telefon, budaya orang-orang terdahulu sekelip mata hilang diganti dengan manusia era modanisasi. Memandu melulu tanpa memperduli sekeliling. Sisa makanan dibuang dari tingkap kenderaan sewenang-wenangnya. Walau penuh penumpang di dalam, suasana sunyi seperti di bilik mayat. Masing-masing tertancap pada skrin telefon.
Kerana ingin hidup seperti orang-orang terdahulu juga berbayar.
Kerana hidup seperti orang-orang terdahulu bukan lagi budaya.
Kerana yang budaya adalah tinggal di hutan.
Itu belum lagi yang bawa segala perkakasan yang serba moden.
Itu belum lagi cerita tentang pancabulan zat-zat hutan.
Manusia.
Mengasingkan perkara yang tidak perlu.
Mencampurkan setiap hitam putih agar kelabu.
Ohya, mencari wang juga perlu survival, bukan?