21 January 2013

Tangga normal untuk ketinggian yang tidak normal.


 Petang itu dia menaiki basikal kepunyaan tetangganya menuju ke taman. Dia tidak mengenakan selipar di kaki kerana dia merasakan sudah puas terapung diantara langit dan bumi. Pada masa yang sama dia masih lagi terapung di antara kedua-duanya. Sesudah sampai di taman, dia meletakkan basikal milik tetangganya di balik semak samun yang meninggi. Takut diambil orang. Kemudian dia berlari-lari anak sambil tertunduk menuju ke bongkah parit yang terbiar. Di sana dia mengeluarkan sesuatu dari dalam bongkah parit itu. Sesuatu yang boleh dipanjat, yang boleh dilipat-lipat. Tangga.
     Angin dari laut memukul-mukul seluruh deria yang ada. Mentari sudah berada pada sudut yang terbaik untuk dirakam panoramanya. Dan dia, dia sudah bersedia dengan tangga yang berdiri kukuh disokong batu-batan yang mengukuhkan kaki tangga. Bimbang kalau-kalau angin menjadi kuat dan menumbangkan tangga. Jam tangan ditilik untuk kesekian kalinya. Dia memegang palangan keempat. Kakinya mula memijak palangan yang pertama. Kini bermulalah pendakiannya. Sesekali dia pandang ke bawah sehingga hilang bayangnya di bumi, dia terusan saja mendongak meneruskan pendakian.
     Dia lelah. Sudah berapa jam dia daki tanpa henti. Dia tahu dia sudah hampir ke destinasi. Sekali sekala dia melihat seseorang melambai-lambai kearahnya dari atas. Saiznya sebesar separuh badan manusia dewasa. Mungkin lagi beberapa meter lagi dia akan sampai. Sampai pada mimpi dan impiannya. Sampai pada tujuan dam masa depannya. Dia sudah tidak sabar lagi. Langkahnya dipercepat. Dari satu palangan di langkah kepada dua palangan. Dia yakin bahagia akan berpihak padanya kali ini.
     Lagi lima palangan. Wajah pemilik aras tertinggi itu mula kelihatan. Manis. Tersimpan seribu satu rahsia. Tapi dia peduli apa. Yang penting dia mahu yang wanita itu tahu akan perasaan dia sekarang. Dia sedikit ego. Wanita itu mungkin tidak tahu yang dia macam itu. Kini dia berada betul-betul di depan pintu masuk aras tertinggi. Terlihat seorang wanita berlari-lari anak menujunya. Haruman bunga-bungaan yang mekar sekeliling laman. Dia terkesima sehingga dia tidak perasan yang palangan terakhir yang dia pijak itu sudah mulai rapuh.
     Dia tidak tahu yang bukan dia sahaja menggunakan tangga ini. Bukan dia seorang saja yang cuba mendaki sampai ke atas. Dia tidak sempat berbuat apa-apa melainkan membiarkan badannya menjunam menghempas bumi. Wanita yang berada di aras tertinggi itu duduk melutut di depan pintu sambil mulutnya memekik-mekik sesuatu yang dia sendiri tidak pasti akan bunyinya. Dia leka. Sepanjang junaman itu hanya wajah wanita itu yang memenuhi kotak fikirannya. Bila sampai masa nanti, wajah itu akan hilang jua kerana kepalanya bakal bersepai menjamah lantai.

No comments:

Post a Comment