31 March 2013

Hujung minggu yang celaka.

  Dia sendirian lagi di kamar. Bangunnya awal, lepas solat subuh dia melakukan senaman ringan sebelum menyediakan sarapan pagi. Sang ibu melihat aneh kelakuan anak lelaki tunggalnya. Jarang jarang malah tidak pernah anaknya membanting tulang di dapur untuk memenuhkan perut darah dagingnya. Usai rutin rutin biasa yang luar luar biasa baginya itu selesai, dia naik ke bilik semula. Modem jalur lebar sudah pun dibuka dari awal lagi. Hari minggu, mentarinya baru mula memanjat tapi bahang sudah lekat pada jasad.
  Dia menagis semahunya selepas mengunci bilik agar tiada siapa yang akan mendekati. Ada sebuah jam loceng di atas meja komputernya, dengan pantas dia rentap jam itu dan mengeluarkan punca kuasa di dalamnya. Bunyi itu ada lagi. Membingitkan hingga memaksa dia menutup kedua telinga sambil matanya terus menerus membuang air mata. Hatinya berkecamuk. Kalau sehari mendengar bunyi itu, sudah membuat dia tidak keruan, apatah lagi tiga hari ! Dalam tiga hari itu dia tidak dapat tidur lena hatta walau dalam mimpi, bunyi itu menjengah ganggu menghalau mimpi indah yang bakal membuai dia terhanyut lena. 
  Satu hari ada 24 jam. Satu jam ada 60 minit dan satu minit ada 60 saat dan dari setiap saat ke saat seterusnya akan menghasilkan getaran jarum jam. Tapi bagi dirinya, getaran itu telah bertukar kepada ketawa. Ketawa yang seperti mengejek dia yang menahan sendu berbatu batu pada perawan yang tidak tahu akan statusnya dalam tiga hari ini. Segala puisi pujangga yang dia layangkan dalam corak corak askara ditemukan kepada perawan atas cara digital tipikal manusia berhubung tidak terbalas. Dia terus menangis mencari apa apa lagi yang bikin bunyi ketawa itu.
  Masa sepertinya sudah berhenti dalam bilik dia. Semua punca kuasa sudah dihapuskan. Kecuali jam dalam komputer riba. Kalau jarumnya berbunyi, sudah tentu komputer ribanya sudah jadi arwah sekarang. Seluruh ruang rumahnya kini bebas dengan jam analog yang berfungsi. Apabila sang ibu bertanya dia hanya akan menjawab,"hari isnin hidupkan balik" sambil menyerahkan sel sel kering yang diibaratkan nyawa pada jam. Dia benar benar benci hujung minggu tanpa rancangan. Duduk terperuk dalam kubikel walau punya internet berkelajuan maksima itu tidak mampu memujuk kesepian tanpa perawan. Dengan jarum jam yang galak ketawa celaka padanya yang masih batak menunggu, dia tidak akan tahan.
  

30 March 2013

Kadang2 kau perlu tahu.

Buntu atas sebuah rasa
Hendak diluah tidak termampu
Teraba raba mencari punca
Pancaran silau melenyapkan jiwamu

Kelodak berontak mula beraja
Akibat mimpi kelmarin kau kembara
Dalam realiti cerita terbawa
Yang mendera aku terlantar merana

Apa aku terlalu taksub mencari
Membelah percaya semata kau pergi
Mohon masa menghapus baki
Percaya harapan teguh berpaksi janji

28 March 2013

Simpanan.

Antara telapak tangan ada sempadan.
Dalam sempadan ada harapan.
Harapan bagi kalian.
Yang benci hidup kepuakkan.
Yang muntah lihat kawan tikam kawan.
Yang merana dihidang agenda perkauman.

Harapan dalam sempadan antara telapak tangan kalian senantiasa sedia menerima tindihan dari telapak tangan yang lain terus menyulam antara jari jemari sebagai ritual menguburkan sifat perkauman.

DIA.

Sembunyikan masa masa yang pernah ada
Jangan beri siapa saja mencecah noda
Bila masa bergolek menghadap tiba
Muntahkan pahit masin yang bikin luka

Aku tahu engkau siapa punya
Aku tahu aku siapa jaga
Kita tahu hanya satu kuasa
Maha cinta maha kaya semua milik Dia

Walau melutut terlekuk lantai
Andai merayu tangisan badai
Engkau tidak boleh putuskan
Segala tindakan serba cara kerestuan.

Cinta datang merentas masa
Jodoh hadiah dari Pecinta
Sembah sujud serah setia
Kau dan aku moga bersama.

24 March 2013

Tahniah, aku.

Lama lama sudah alah pada angin kontang merah hati yang tidak henti memukul raga agar jiwa runtuh melutut mencari punca senyuman.

Ulangan.

Dia membawa kemanisan dalam hidup
seorang jaka yang mengesot esot
membawa syurga untuknya
terus bernafas. 

Pertama kali itu
yang menjadi saksi
pandangan si jaka tidak putus
melihat anak matanya dalam keadaan
separa sedar yang kini hidup bagai suria dalam jiwa.

Untuk dia jaka tidak putus
bicara pada tuhan mohon
jaka punya rencana 
diperkenankan Dia.

22 March 2013

Penakut.

   Pertama kali kau mendaratkan kedua telapak kaki kau yang beralaskan selipar kerana kau takut akan bumi yang orang bilang penuh dengan kepalsuan secara automatis kau melihat orang disekelilingmu sungguh menjengkelkan. Seolah olah setiap antara mereka mengejekmu, ada juga yang mengecilkan mata bundar mereka sehingga meninggalkan seperseratus anak matanya untuk memenamkan pandangan itu ke dalam jiwamu. Saat itu kau mula berpeluh, kau takut. Kondisi itu tidak berlanjutan pada percubaan keduanya.
   Kali ini kau masih bersepatu dikaki dengan mentaliti kau sendiri - takut cacing masuk dekat celah2 kuku. Pada lokasi yang sama kau mendarat, mereka yang sama kau lihat, kau masih dijamah ketakutan. Aneh. Aku pernah senasib sepertimu tapi untuk percubaan yang kedua, aku tidak takut. Malah aku sudah mula bertepuk tampar dengan mereka yang sedari asing buatku hingga kini. Mengapa kau masih takut ? Melihat kejadian aneh itu aku mencari asbab ketakutan kerana aku tak bakal tenang selagi kau takut. Tiga minggu aku gagal mimpi gagal menghadap matahari.

Satu. Dua. Tiga.

   Malam terakhir minggu ketiga itu aku berjalan di tempat kau mendarat untuk kesekian kalinya. Malam itu seolah olah punya jawapan untuk soalan yang sudah menjadi jeruk. Aku melihat sekeliling manusia yang mengorak langkah bersegi rawak. Manusia yang bertali leher berkemeja putih seakan dari darah daging kelompok kasta teratas. Pada wajahnya. Ya. Pada wajahnya ada yang aneh, mimik mukanya statik. Tiada kedut2 masalah tiada juga liang2 bahagia dan ianya terkopek ! Ahh, aku lupa. Ini zaman modanisasi materialistik. Sekarang manusia hanya berperasaan pada dunia digital.
   Mereka akan mengenakan topeng muka apabila mereka menyelam dalam lautan manusia. Berjalan dengan sentiasa tersenyum ataupun mulut penuh nanah. Patutlah kau takut. Kau sudah awal2 lagi menyedari akan ini tapi kau takut nak kasitahu aku. Tidak mengapa, kawan. Jika kau sudah hilang rasa takut itu, ikut aku kemari. Mendaratlah di tempat yang sama kau mendarat. Aku ada di situ sampai bila2. Aku ada pelawat, ada topeng yang perlu diperbaiki. Sampai jumpa !

19 March 2013

Keras.

Tiang teguh menanti roboh,
Terpasak angkuh lingkari nyawa.
Nyawa rela diragut gelojoh.
Detik detik jam kejam menguasa.

Batu perlahan menjamah diri.
Pertama dijajah semesti hati.
Hati keras rekahnya mimpi.
Terpatung cita menyalak sepi.

Entah rapuh entah tiada.
Usah dinanti masa terjaja,
Biarkan saja kehendak dia,
Ramalan ampuh tentuan Pencipta.

15 March 2013

Menapak.

Luka luka lama tolong bawa juga.
Simpan dalam dalam bila susah baru bida.
Kita langkah jauh dari biasa.
Jaga rupa buruk hidang imej indah kita.

Dalam poket sisip peti.
Biar kosong biar sepi.
Sampai sasaran kita isi.
Idea mentaliti biar sebati.

Ini budaya kita dahaga.
Sudah lama dipagar kini menular.
Hendakkan hati beterbang ria.
Moga dijauhkan pembenci tegar.

12 March 2013

Mati.

Patung patung hanya patung.
Berselerak rawak menyembah tanah.
Ditala nyawa untuk bertarung.
Tiada belas memancit darah.

Latar kini setentang beda.
Wang ditabal maharaja mutlak.
Patung patung masih bernyawa.
Harta dikejar pengganti darah.

10 March 2013

Dan awak, orang yang terakhir.

Berteduh ketika hujan.
Di bawah payung celupan manisan.
Untungnya semut tidak terkesan.
Mata2 umum tercalit perhatian.

Lama2 muncul satu rasa.
Enak dipandang padam berkala.
Puncak kepuasan makin meminta.
Yang terpandang ke hati tak tiba.

Muncul layar di balik akal.
Diminta minta terusan kekal.
Meliuk lentok hujung ke pangkal.
Bicara mesra tak pernah tinggal.

Itu lagi cepat terjatuh.
Golek2 penuh riang dalam tubuh.
Yang cantik dirupa dipandang jauh.
Si peramah kata bidadari teguh.

07 March 2013

Chipsmore.

Tenggelamkan aku dalam celah2 malam.
Biarkan aku berjiwa dengan purnama dan bintang.
Merasuk jembalang yang membina sarang kelam.
Jadikan aku yang dulu megah semakin terkanting kontang.

Sendiri dalam mata tertutup.
Menyedut debu2 tenteram.
Diam diam nama kamu aku tiup.
Bersemarak dalam gelap mengubah hitam.

Dunia tiada nampak cahaya.
Sampai kamu aku dakap penuh rasa.
Berhenti purnama dan bintang setia.
Jelmakan dirimu diruang angkasa.

06 March 2013

o.o

Sejak sejak ini papan muka maya ditandang askara2 yang membawa jiwa hampir tumbang melampias sisa2 usaha yang tiada balasnya. Jika hendak mencari mana2 telinga yang sukarela menghadam halwa2 pasrah ini bukannya tidak boleh. Tapi dia lebih selesa di sini. Di papan muka maya yang tidak punya walau secubit rasa. Nol. Boleh diikutkan setiap hari ada saja yang mahu ditangisi tapi dia mula menapis satu persatu agar yang tidak tertapis kemudian akan dicampak di papan muka maya. Dia juga mahu papan muka mayanya menjamah manisan. Dia mahu bertindak adil. Lantas dia mencari apa saja medium yang bikin dia merembes nilai2 manisan dalam jiwa lantas membentuk lengkungan ke bawah menggunakan kedua dua ulas bibir pada dirinya. Hingga ke hari ini dia cuba adunkan kedua dua rasa dari landasan yang sama dengan sebati. Semoga cahaya tuhan akan selalu dia hayati.

03 March 2013

/

Angin bertiup ke sini,
Kau lesap dari sana.
Hujan emas membasah bumi,
Langsung kau selingkuh bekas langit kau jamah.

Ahh dunia makin laju berubah.
Perangkap jiwa2 mentah
Laju mengejar apa di depan.
Sebelum akal mainkan peranan.

Kita sudah punya kerusi.
Buat kita tebar melodi.
Yang lama yang baru kita kongsi.
Kita puas lahirkan seni.

Yang bekejar biarkan mereka.
Sampai masa ketemulah jendela nyata.


.

Setiap yang jatuh tidak hilang
Bertakung penuh membulat kawah
Masa untuk sambung berenang
Serap satu satu nikmat gundah.

Bukan engkau yang aku jaja.
Hanya dia yang harap tiba.
Dalam mimpi lama tiada.
Realiti perit jajah membisa.

02 March 2013

Nilai.

Sesuatu yang tidak nampak itu mudah dirasa.
Lalu bagaimana caranya untuk kau menyerap setiap darinya ?

Setiap yang pernah ada
Setiap yang selalu ada
Terselit nilai dalam roh mereka.
Tambah tolak darab bahagi
Yang tentukan dari sang pemberi.
Kerna kuasa penuh milik penerima.