30 December 2016

Rawak

Tiga enam sembilan
Enam ketinggalan
Kosong sebelum tiga
Tujuh selepas enam selepas kosong

Saya tidak keseorangan.

Saya tidak merasakan malam itu gelap
Gelap yang mengurung rasa bahagia para manusia
Gelap yang melahirkan ketakutan pada yang tidak kelihatan
Gelap yang memimpin sisi hitam menyelam ke hati hingga menjadi legam
Saya tidak merasakan malam itu gelap

Apabila langit bertukar hitam
Sedang kawanan burung pulang ke sarang
Dan cengkerik sudah tidak diam
Bersimpul dengan paluan ombak kecil yang girang

Saat itu saya ikut sekali melayang
Melihat batu batu di langit bercahaya terang
Dengan tiba tiba hilang semua bunyian alam
Apabila engkau mula bersuara dengan pandangan yang dalam
Memberitahu akan rindu ini sebenarnya
Ditanggung kita berdua

24 December 2016

Pantai yang meniup perkataan.

Sebab dah nak hampir dengan tahun depan
Saya akan ceritakan saya punya impian
Saya amat sukakan laut dan pantai
Dari pukulan angin sehingga deruan ombak ; ia mencipta damai

Jika sempat saya mahu membina rumah
Di tepi pantai di bawah rimbunan pohon rambutan
Rumahnya kecil molek tidak sentuh tanah
Dari pintu utama terhampar luas lautan

Di antara rumah dengan lautan
Saya akan bina satu lagi mini lautan
Yang saya akan penuhi dengan simbol dan perkataan
Beberapa petikan dari orang ternama
Saya aduni biar sebati bersama

Kerana saya sukakan kesimpulan
Jika ada masa terluang tidak pernah saya siakan
Saya lantas terjun ke lautan kesimpulan
Berenang indah dan
Mengharap setiap percaturan
Adalah kecelakaan
Yang disengajakan

Bagaimana rentak engkau sebenarnya.

Bagaimana rentak engkau sebenarnya
Saat aku ke kiri, engkau ke atas dan terus tiada
Apabila engkau hadir, tidak pula melafaz kata kata
Bagaimana rentak engkau sebenarnya

Dari langit yang merekah melindung kilat
Aku memaksa pelangi keluar dengan seluruh kudrat
Demi lengkungan bahagia di bibir
Malangnya hanya resah hadir membanjir

Bagaimana rentak engkau sebenarnya
Aku bina sendiri istana percaya
Aku tanam sendiri sayang dan cinta
Dan engkau terus diam membisu bahasa
Bagaimana rentak engkau sebenarnya

18 December 2016

Yang terancam.

Selagi tidak ada unsur memerlukan saya dalam
hidup engkau

Selagi tidak ada harapan yang diapung untuk kita
bersama

Selagi itu engkau saya layangkan ditepi pantai
Terikat dengan benang sutera yang membelai
Paluan bayu laut nan damai
Dan langit membiru awan gemalai

Cukup dengan sayang yang engkau tiupkan
Membakar gundah sehingga menjadi debu beterbangan
Tetapi hati kecil ini tidak puas
Ingin memaksa engkau untuk menjadikan saya sebagai
keperluan

15 December 2016

Saya hanya boleh berangan.

Saya tahu saya bukan dunia
Mahu menampung segalanya
Namun saya terus mencuba
Merakam setiap gerak geri kita

Setiap nafas yang terlepas
Setiap nadi yang menari
Tidak mahu satupun yang terhempas
Setiap satunya adalah kesakitan menuju mati
Dan senyuman yang saya tagihkan
Semoga dapat dinikmati
Kerana itulah satu satunya selimut yang memeluk
saya selepas seharian dirogol duniawi

Malangnya ia tampak pudar
Saya sedih dan saya sedar
Telah sepenuhnya saya dirogol mengelilingi
waktu yang berputar

14 December 2016

Engkau yang memaksa aku menulis.

Aku bukan mahu benar menulis
Tentang perihal kita yang semakin manis
Kerana aku itu tamak malah tidak mahu berkongsi
Aku mahu sendiri menikmati bersama engkau,
manisan hati.

Jika aku terus menari bersama celaka
Apa engkau akan kekal ada?
Membawa senyuman pinjaman syurga
Menghalau hitam yang terus terusan melanda

06 December 2016

NAZ,ILY.

Kenapa kaitkan bunga dengan cinta?
Kenapa pula bertaburan kelopak mawar dekat laman?
Kenapa perlu cinta kalau ia tidak sehebat gila?
Kenapa masih kaku kalau rindu sudah tidak tertampungan?

01 December 2016

Silap, dimana kamu?

Mereka terus terima apa yang mereka minta
Sedangkan saya terus merana menatap hiba
Di manakah silap saya
Kurang memberi atau terlebih meminta
Pasrah sudah tidak terkira

Walaupun bukan hak mereka
Mereka tetap terima
Walaupun ditentang rakyat jelata
Senangnya hati puas terasa

Di manakah silap saya
Apakah tidak cukup santun berdoa
Atau mengharap yang tidak kena