30 May 2016

Pergi yang kembali.

Pagi itu aku mimpi dia
Suasananya dalam farmasi
Aku melihatnya
Dia perasan aku memerhati
Tiada suara ke udara
Berteman melodi sunyi
Barusan hendak dilupa
Wajah itu sedang bersarang lagi

Tak guna.

29 May 2016

Serata.

Udara di sini kotor sekali
Tidak seperti kelmarin aku kemari
Debu yang dahulu miliknya seni
Sudah raksasa jasadnya
Semakin hitam warnanya
Tidak terjangkau hamisnya

Tertunduk tunduk mereka itu
Di atas garis masa buatan mereka
Mereka mereka sistem sedia dipalu
Rencana mencabul tertib manusia

Dalam mereka aku manusia
Patuh cara acuh tidak acuh
Bila sendiri aku hamba
Jatuh bangun buat tuhan pemberi
teduh

28 May 2016

Pipi yang berlekuk.

Angin yang memukul lalang
tidak sekejam engkau yang
mengukir senyum bukan pada
aku walau sekali cuma

Mungkin kerana kita
berada dalam takungan berbeda
Aku sudah tentu kotor
Engkau suci tersadur

Melihat pada nyata penuh nista
Takut malah kecut meratap hiba
Untuk bersatu lalu sempurna
Dalam juraian fitnah dunia

Engkau tahu
Aku tahu
Sistem kian celaru
Dunia kaku dipandu nafsu

27 May 2016

Minat.

Minat boleh berubah.
Minat untuk berubah.
Minat akan berubah.
Minat sesuatu yang berubah.

Berubah minat.
Berubah itu minat.

25 May 2016

Sebentar.

Mengapa engkau bersedih?
Apa mataku terlihat pedih?

Hari-hari semalam bersama tulisanmu.
Mengapa dengan tulisanku?

Askaranya menangis titiskan air mata.
Ia dari hatiku.

Tidak mahu cerita padaku?
Bagaimana dengan cerita padamu aku bisa tenang?

Aku tidak janjikan tenang, bahu ini buat engkau seorang
Sedih bikin aku melahirkan idea, sayang.

Dan engkau tidak apa-apa dengan terusan begini?
Ia tidak akan lama kerana aku sudah ada pengganti

Semoga dia adalah suri yang menyempurnakan suria hidupmu
Kerana dengan emosi yang jatuh, pena ini jatuh ikut akalku

23 May 2016

Perempuan dalam kaca mata.

Selalu saja dia melintas
Melintas lalu berjalan malas
Malas menoleh aku yang lapar
Lapar menjadi temanmu diwaktu
sukar

Setiap apa dalam pilihan
Pilihan dia aku perhatikan
Perhatikan samada beda laluan
Laluan aku terus terusan dalam bulatan

Awan yang tidak menjamu langit
Langit yang sepi teriak bingit
Bingit aku kehilangan dia
Dia yang kini terus bahagia

21 May 2016

Muat

Berusaha mencari udara
Antara nafas nafas berkarat
Mahu tidak mahu harus jumpa
Tidak perlu dicemar jiwa yang hebat
Para korban letupan fitnah merata
Ruang  yang terhad tidak semalanya muat

20 May 2016

Longgar

Untuk melihat engkau puja
sesuatu naskah itu gila

Tidak pernah sesaat pun
engkau sentuh malah menyantun

Engkau tidak perasan
Aku yang tertekan
Acapkali mendengar rengek esakan
Dilaung-laung namau pinta disatukan

Engkau mana percaya
Cuma mahu hidup dengan gaya
Walau ilmu paras buku lali cuma
Mudah salah jatuh cinta

14 May 2016

Rupa.

Melihat engkau dalam dia
dengan cermat bila dia
menenggelamkanku secara
paksa

Aku biarkan malah
aku tidak marah
bahkan merasa bersalah
bikin dia rebah
dalam helah berdarah

13 May 2016

A

Dengan mata yang setia dilindung kaca
Helaian tudung melitup mencipta ombak
Pada setiap keramaian umpama selimut sutera
Kau gagal memadam jejak
Mana mungkin senyuman itu aku lupa

Walau tidak selalu
Aku rasa kita seteru
Mungkin pada masa lalu
Kapan lagi mahu bertamu

05 May 2016

Jangan samar.

Engkau bukan candu
Apatah lagi jeram jemu
Engkau tiada makna
Tiada kamus mahu meraba
Mekar rindu setaman
Pada negeri hati yang aman
Ada masa mahu semuka
Ada rasa sudah lama dahaga

04 May 2016

Tidak berani hantar ini buatmu.

Pada langit yang sama
Tidak pernah aku lihat rupamu
Yang ada cuma purnama
Hadir tak pernah jemu
Walau jarang aku lihat
Sepertimana rindu yang likat
Tidak terungkap
Tidak terucap
Kerna takut tidak dibalas
Kerna takut luka meluas