27 August 2013

Tenggelam antara lapan-september.

Seribu rindu di bahu.
Detik dan saat titip lalu.
Hampar pena lihat sayu.
Tenggelam timbul siapa tahu.
Gelap bebas suria.
Gelita timbus kalut dunia.
Celik kala yang lain lena.
Rezeki ada di mana-mana.

25 August 2013

Pemuja.

Ada saja taman taman indah
Dari pencipta
Buat suka dari duka
Malah diri makin manja
Senyum itu ratu bahgia.

Ingin saja seperti cermin
Dilihat dari yang melihat
Menjaga dia umpama cerakin
Pelangi, moga kekal
tiada berangkat.

19 August 2013

Dalam pada itu, jarang sekali dapat menatapnya depan2. Untungkah ada telefon yang menghubungkan.

Kali ini biar bicara jadi utama
Biar telinga pandu makna
Suara dari mata jiwa

Segala deria tumpu askara
Adunan kimia tak pernah leka
Cipta fantasi serba nan nyata




17 August 2013

Bersahaja membaiki labu.

Sudah aku terbiasa.
Rencana tiada cela diranap mudah sekelip mata.

Jiwa aku lali.
Acap kali dinanti acap kali disakiti.

Hina aku hina.
Dosa tersembunyi pada mereka tanpa mahu memaaf rela.

Kebah seperti selalu.
Melodi yang sama berirama hiba terus berlagu.

Perlu aku sadar.
Setiap yang berseri pasti akan pudar.



15 August 2013

130814

Tingkap dikuak menyambut cahaya
Nikmat dan rahmat dicurah sentiasa
Tangga angka menaik kira
Jangka usia buat perawan
Merapat engkau pada masa depan

Umur hanya pada angka
Moga setia memberi warna
Moga sedia ada masanya
Terus menyebar ribuan cinta

Tingkat tingkat atas
Makin tinggi makin lemas
Andai iman dipandang lepas
Andai akal dibuang waras.


Tembak.

Bepusu pusu idea memasuki liang fikiran 
sehingga mematikan ruang2 kecil untuk membekalkan 
udara agar sang akal terus bernafas 
menghirup persekiratan yang kian lama 
pudar harum damai 
dijajah tompok2 merah dari pendosa dosa masa yang 
menjadi mangsa peluru tiada mata dari pemangsa akalnya kedana.

Sehingga pekat malam melarut perlahan ke dalam lena, 
ruangan putih kekal kosong saat suri menjengah hari.

13 August 2013

Katil masa cerita.

Hari hari dia bawa bantal
Sana sini kepit tak pernah tinggal
Kena perli kena hina dia buat kental
Senyum manis tembok kalis sial

Dalam bantal ada paku
Paku salut duri semalu
Buat rakan sama bulu
Moga untung sendiri sapu

Bantal penting buat tidur
Tiap masa mesti ada buat dengkur
Dia banyak baik kasi bantal hulur
Orang kantuk akur lena sampai kubur.

12 August 2013

Keenam.

   Terik sungguh hari ini sedangkan waktu sudah pukul enam petang. Mari kita ke bawah pohon sana. Ada seorang makcik yang setia menjual ais kacang menggunakan motorsikal roda tiganya. Aku belanja, mari. 

   Dua mangkuk ais kacang dipesan dan aku duduk mencangkung di bawah pohon rambutan bersama-sama temanku yang baru ku jemput dari pekan tadi. Teksi hanya menghantar kami di depan jalan utama dan selebihnya bergantung kepada kudrat kami sepenuhnya. Aku lihat rakanku sudah basah kuyup ditandang peluh. Maka aku memilih untuk berehat sebentar menyejukkan tubuh. Mula-mula aku keliru mengapa dia boleh ke pekan seorang diri. Yang aku tahu, ibu bapanya sungguh-sungguh menjaga dia dan sembilan orang lagi adik beradiknya. Tapi hari ini dia terlepas berjalan sendirian.

   Ais kacang kami nikmati seratus peratus. Suasana menjadi sunyi seketika. Melihat tenaganya kembali pulih, dia memulakan cerita. Katanya dia sekeluarga ke pekan pagi tadi untuk membeli baju baru. Ayahnya mendapat durian runtuh dari majikan. Dia dan sembilan adiknya bersama kedua orang tua menaiki van yang dipinjam ayah. Masing-masing sudah membayangkan baju apa yang mahu dimiliki masing-masing. Sampai saja di pekan, mereka mula membuat satu barisan mengikut umur. Tapi ayah kata tak payah sebab ayah masih punya gambar dia adik-beradik yang lepas. Tanpa berlengah bermulalah sesi menghabiskan duit. Sudah beberapa jam mereka di pekan, tiba masa untuk pulang ke rumah. Sebelum bertolak, ayahnya meneliti telefon bimbit  melihat gambar setiap anaknya sambil setiap dari mereka berdiri tegak seperti mahu berkawad. Pintu van ditutup dari dalam. Enjin dihidupkan. Van pergi meninggalkan dia terpinga-pinga.

   Aku mula hairan dengan tindakan ayahnya. Lantas kami meneruskan perjalanan ke rumahnya. Aku perlukan penjelasan dari persoalan yang tidak masuk akal ini. Salam dilaung sambil jari mengetuk-ngetuk pintu utama rumah kayu itu. Seorang perempuan separuh umur keluar berkain batik baju kurung lama. Aku dijemput masuk juga. Tidak beberapa lama kemudian, ayahnya muncul dari salah satu bilik. Wajahnya kehairanan melihat rakanku merangkap anak kandungnya berpeluh-peluh mencari nafas. Aku memulakan pertanyaan akan kejadian siang tadi. Ayahnya bilang dia sudah menyemak setiap seorang dari anaknya dengan berbekalkan gambar dalam telefon bimbit. Tapi kenapa anaknya yang bongsu ini terkecuali, nada suaraku tetap rendah tapi tegas. Si ayah bangkit lalu masuk ke bilik yang dia muncul tadi. Beberapa saat kemudian dia keluar membawa telefon bimbit.

   Aku menghampiri si ayah melihat setiap satu gambar anaknya. Mahu saja aku ketuk kepala si ayah tapi aku masih mampu kawal kewarasan. Aku mengambil telefon bimbit dari tangannya dan membuka salah satu gambar anaknya. Telunjukku menunjuk tepat akan tarikh gambar diambil pada si ayah. Dia tersengih-sengih seperti kerang rebus. Sedar tak sedar sudah enam tahun dia tidak keluar bersama-sama semua anaknya. Sudah enam tahun dia mempunyai anak yang seusiaku. Sudah enam tahun dia yakin yang gambar dalam telefon bimbitnya itu seperti baru semalam diambil.

07 August 2013

Hye Lebaran !

Picu ditarik menyambut maut
Peluru melaju mencuri nyawa
Rehat menulis lebaran disambut
Bila dah pokai kembali bekarya.

Bye ! 

05 August 2013

Himpit.

Bukan pipit sama enggang
Bukan pungguk sama bulan
Bukan jauhari sama manikam
Jauh lagi, lagi bawah 

Memikul sendu pada dua bahu
Berjalan sepanjang rekahan batu
Tanpa sepatu
Antara seimbang dan perit
Daya si hamba terlalu sarat menelan pahit

Pertama dan utama
Dua dua perlu sama
Bersama doa tiap masa
Dengan redha mengeluh tiada

04 August 2013

Kad raya.

Sekeping kad sisi empat sama berwarna merah muda. Di setiap bucunya ditampal ketupat mini yang dianyam menggunakan reben berwarna hijau dan merah. Pada sisi sebelah kiri ditampal gambarnya yang lengkap berbaju kurung songket berwarna hijau berkain batik. Senyuman berlesung pipit yang pernah melembutkan hati siapa2 saja sekelilingnya menyerlahkan lagi kertas putih sisi empat.

Pada tengah2 kertas itu dituliskan etiap patah perkataan itu menggunakan pen dakwat basah berwarna hitam 0.5 jenama Pilot dengan bentuk tulisan blok ; semuanya huruf besar.

Satu persatu askara ditulis dengan hati yang tembus terus pada kertas putih itu sehingga membentuk 'SALAM LEBARAN'. Dan dibawahnya pula 'MAAF LAHIR DAN BATIN'. Terdapat dua titik bertindih dan penutup kurungan  di sebelah askara 'N' dengan sedikit jarak membentuk seperti seseorang sedang tersenyum.

Pada bucu sebelah kanan, atas sedikit dari ketupat mini, tanda tangan ditumpahkan menandakan yang dia empunya kad ucapan itu.


02 August 2013

Klise orang baik.

Hati mula rasa gementar. Sebentar tadi baru saja dia ternampak perawan itu bersiar-siar ditemani angin yang membuai lembut pakaianya. Serentak itu dia umpama ditolak untuk berhadapan dengan si perawan oleh sang angin. Dia jadi kaget. Perawan itu mengesan akan dia yang sedari tadi khusyuk memerhatikannya. Badannya dipalingkan lantas melangkah laju pulang ke rumah. Nafasnya kian perlahan hingga ke paras normal. Dia tahu tiada tempat untuknya menyembunyikan debar saat perawan pujaannya menikam pandang. Tuhan pasti lihat apa yang terjadi tadi. Sejenak fikirannya kembali pada sejarah lampau yang tidak selayaknya diulang tayang. Kisah hidup berkibatkan noda dan dosa tanpa sedikit rasa percaya akan wujudnya sang pencipta. Satu persatu wajah mangsa melintas dalam fikiran. Peluh didahinya diseka lantas dia mengangkat hadas kecil dengan harapan hatinya bakal  tenang. Tikar sejadah dibentang. Saat hatinya mulai tenang, solat didirikan.


01 August 2013

Bukan pada seseorang tapi sesetengah orang.

Mohon terus dipaksi itu
Agar aku bisa bangun
Saat tekanan mencurah
Satu persatu semangat rapuh
Tika itu engkau membayangi aku
Lunak suaramu menyentak pegun
Yang dari tadi bikin jiwa parah
Mencipta jernih dari yang pernah keruh