12 August 2013

Keenam.

   Terik sungguh hari ini sedangkan waktu sudah pukul enam petang. Mari kita ke bawah pohon sana. Ada seorang makcik yang setia menjual ais kacang menggunakan motorsikal roda tiganya. Aku belanja, mari. 

   Dua mangkuk ais kacang dipesan dan aku duduk mencangkung di bawah pohon rambutan bersama-sama temanku yang baru ku jemput dari pekan tadi. Teksi hanya menghantar kami di depan jalan utama dan selebihnya bergantung kepada kudrat kami sepenuhnya. Aku lihat rakanku sudah basah kuyup ditandang peluh. Maka aku memilih untuk berehat sebentar menyejukkan tubuh. Mula-mula aku keliru mengapa dia boleh ke pekan seorang diri. Yang aku tahu, ibu bapanya sungguh-sungguh menjaga dia dan sembilan orang lagi adik beradiknya. Tapi hari ini dia terlepas berjalan sendirian.

   Ais kacang kami nikmati seratus peratus. Suasana menjadi sunyi seketika. Melihat tenaganya kembali pulih, dia memulakan cerita. Katanya dia sekeluarga ke pekan pagi tadi untuk membeli baju baru. Ayahnya mendapat durian runtuh dari majikan. Dia dan sembilan adiknya bersama kedua orang tua menaiki van yang dipinjam ayah. Masing-masing sudah membayangkan baju apa yang mahu dimiliki masing-masing. Sampai saja di pekan, mereka mula membuat satu barisan mengikut umur. Tapi ayah kata tak payah sebab ayah masih punya gambar dia adik-beradik yang lepas. Tanpa berlengah bermulalah sesi menghabiskan duit. Sudah beberapa jam mereka di pekan, tiba masa untuk pulang ke rumah. Sebelum bertolak, ayahnya meneliti telefon bimbit  melihat gambar setiap anaknya sambil setiap dari mereka berdiri tegak seperti mahu berkawad. Pintu van ditutup dari dalam. Enjin dihidupkan. Van pergi meninggalkan dia terpinga-pinga.

   Aku mula hairan dengan tindakan ayahnya. Lantas kami meneruskan perjalanan ke rumahnya. Aku perlukan penjelasan dari persoalan yang tidak masuk akal ini. Salam dilaung sambil jari mengetuk-ngetuk pintu utama rumah kayu itu. Seorang perempuan separuh umur keluar berkain batik baju kurung lama. Aku dijemput masuk juga. Tidak beberapa lama kemudian, ayahnya muncul dari salah satu bilik. Wajahnya kehairanan melihat rakanku merangkap anak kandungnya berpeluh-peluh mencari nafas. Aku memulakan pertanyaan akan kejadian siang tadi. Ayahnya bilang dia sudah menyemak setiap seorang dari anaknya dengan berbekalkan gambar dalam telefon bimbit. Tapi kenapa anaknya yang bongsu ini terkecuali, nada suaraku tetap rendah tapi tegas. Si ayah bangkit lalu masuk ke bilik yang dia muncul tadi. Beberapa saat kemudian dia keluar membawa telefon bimbit.

   Aku menghampiri si ayah melihat setiap satu gambar anaknya. Mahu saja aku ketuk kepala si ayah tapi aku masih mampu kawal kewarasan. Aku mengambil telefon bimbit dari tangannya dan membuka salah satu gambar anaknya. Telunjukku menunjuk tepat akan tarikh gambar diambil pada si ayah. Dia tersengih-sengih seperti kerang rebus. Sedar tak sedar sudah enam tahun dia tidak keluar bersama-sama semua anaknya. Sudah enam tahun dia mempunyai anak yang seusiaku. Sudah enam tahun dia yakin yang gambar dalam telefon bimbitnya itu seperti baru semalam diambil.

No comments:

Post a Comment