31 July 2013

Hiba di hari-hari terakhir Ramadhan.

Nyata tidak akan berhenti
Terus terus keliling mentari
Hitungan mati mendekat lagi

Kelajuan masa dicela
Kelakuan manusia kian hina
Merengek dalam kotak fikiran
Menyalak bukit tunjuk kekuatan

Satu saat akan tiba
Yang berjalan mati langkah
Yang berputar akur perintah
Yang menyalak dibiar terbakar.


30 July 2013

Kawan,

Kebelakangan ini hidup
Aku diajarkan ilmu dari hamba tiada nyawa
Dia jujur
Manisnya sekata
Belati dan diri sudah sebati
Bicara disebalik setiap helaian dari pohon
Dan bunyi selakan itu
Mengapungi aku
Bernafaskan askara askara suci
Embun ilmu merenjis mahu
Benak yang kontang tertewaskan
Lalu layu beralu.

27 July 2013

Surat berantai tiruan.

Solat terawih lapan rakaat. Usai imam memberi salam, sepantas kilat aku sudah menghidupkan motorsikal. Takut tidak sempat untuk ke acara malam ini. Sengaja tidak mengenakan songkok, malas nak singgah rumah. Takut sangat tidak sempat. Aku kena sampai awal. Melalui jalan jalan tikus akhirnya aku tembus berhampiran dataran. Para penganjur sedang menyiapkan tempat acara untuk malam ini.  Malam juara2 edisi ramadhan. Walaupun ia haram, penganjur tidak pernah terlepas menunjukkan kewarakkannya dalam mencipta nama acara. Malam ini aku ada misi. Bukan untuk menang. Aku ke sini bukan untuk berlumba. Kawanku, Manap. Dia yang berlumba dan dialah punca segalanya. Malam ini dia mahu aku ambilkan gambarnya ketika berlumba. Manap tidak pernah menang dan dia tidak pernah berputus asa. Baginya, tak menang takpe asal popular. Disebabkan kawan. aku telan kata2 seolah peria itu dengan ikhlas.

Manap datang sepuluh minit lambat dariku. Mukanya penuh keyakinan seperti biasa. Entah bila dia menguji kebolehan motornya pun aku tak tahu sedangkan siang tadi dia menghilang ketika dikejar ketua kampung kerana kantoi tak puasa. Manap menghampiri aku. Dia mengangguk, lantas aku pasang kamera pada motorsikalnya dibahagian meter. Konon2 dia seperti dalam Moto GP. Cuma tiada kamera diletakkan di punggungnya. Modal tak mencukupi. Lagipula siapa mahu lihat punggung Manap. Jijik.

Perlumbaan akan dimulakan sekejap lagi. Manap berada di posisinya bersama pelumba yang lain. Rata2 mewakili kampung masing2. Aku lihat segenap mata memandang motor Manap yang dilengkapi kamera. Manap pun memainkan peranannya sebagai si hidung tinggi dengan jayanya. BANG ! Bunyi macam bunyi pistol dari salah satu telefon pintar milik penganjur menandakan permulaan bermula. Masing2 dengan gaya masing2 meninggalkan asap di petak permulaan. Aku bergegas ke salah satu susur di mana mereka akan lalui. Disitu Manap akan mula merakam gambarnya.

Sampai saja disitu aku melihat seseorang menuang minyak di atas jalan raya. Si celaka itu menyanyikan lagi S.Jibeng sambil menghabiskan sisa minyak yang tertinggal. Aku capai batu berhampiran dan melemparkan padanya dan kena ! Dia memusing musing melihat sekeliling. Kali ini aku menjumpai batu bata yang tinggal separuh. Kali ini juga celaka itu mesti rebah. Hanya sekali percubaan dan sekali lagi ia tepat mengenai sasaran dan ia rebah ke tanah. Pada masa yang sama pelumba2 sudah mula memasuki susur yang berminyak itu. Aku tak sanggup melihatnya tapi..tapi aku tetlihat Manap di depan. Dia mendahului pelumba lain dan ini sangat mengujakan. Ahh, dia sudah mahu tiba. Aku memalingkan badan untuk tidak melihat. Diam.

Manap hampir sampai ke susur. Diraba raba kamera yang terpasang untuk merakam gambarnya. Jumpa dan TAP ! TAP ! dan TAP ! sinar putih mengaburi matanya seperti kilat yang menyabung. Ia turut menyilaukan pesaingnya di belakang dan memaksa mereka semua untuk menutup mata dan sama2 hilang kawalan mencium jalan. Tiada seorang pun yang terlepas. Tiada yang juara, semua tertewas.

Aku cuba beranikan diri melihat apa yang terjadi selepas mendengar bunyi yang mengerikan. Alangkah terkejutnya aku melihat manusia bersama motorsikal bertaburan di jalanraya. Aku melihat tempat minyak ditumpahkan itu masih jauh lagi. Apa sebenarnya yang berlaku. Aku tegar ke tempat kejadian. Mungkin polis dalam perjalanan. Mungkin aku sempat menyelamatkan Manap. Sesampainya aku, Manap duduk menyandar pada palang besi. Dia mengurut urut kakinya. Dari luar tiada luka2 parah aku lihat. Manap perasankan aku. Dia menikam aku dengan pandangannya. Bibirnya diketap menahan sesuatu.

Kini aku masih dalam pelaria dikejar Manap dan pelumba2 lain. Bukan salah aku tidak menukar mod mengambil gambar kepada rakaman. Aku tidak sempat nak minta maaf mereka dah membuka langkah nak belasah aku. Kalau siapa2 yang sedang membaca surat ini, tolonglah buat report. Disini aku turut sertakan gambar aku ukuran pasport. Aku mungkin masih terus berlari atau sudah menghadap Illahi. Sekali lagi, tolong aku.

26 July 2013

Dari empunya dosa semalam.

Mereka mereka itu di dalam dunia kita
Terpisah dalam sempadan halimunan
Mereka mereka mendinginkan pandangan jejaka
Yang utuh imannya tiada pula rapuh nafsunya.
Sempurna lindungan pakaian nyata dan raga
Budi bicara disulam puji puji agama
Rebah tak lama bangkit kernaNya
Kau kau dan kau wahai srikandi
Moga tempatmu di syurga nanti.

25 July 2013

Cerita belakang awan.

Gelap dan bintang itu malap
Mata pejam kala galau bikin silau
Benar kata hati
Hujan batu ribut besi
Tiada gugur payung sakti
Nama itu perisai
Nama itu tak mungkin gadai
Pelangi purnama serinya terus nanti
Seperti engkau mana mungkin 
ada ganti

24 July 2013

Ular tak rela.

Di dalam kelas dia duduk berhampiran pintu belakang. Bila loceng berbunyi terus dia pecut laju. Budak itu memang aneh. Sejak dua tiga hari ini kerap saja dia tidak hadirkan diri ke sekolah. Bila dia datang, pasti mengenakan kemeja putih lengan panjang. Tidak pula terserempak dengan guru disiplin. Bernasib baik sungguh. Rakan2 yang lain tidak pula menegur kelakuannya. Aku ? Aku baru dua minggu dekat sekolah ini. Lagipun aku bukan satu kelas dengannya. Tapi melihat gelagatnya yang beda dari biasa, aku jadi tertarik. Cuma belum masanya lagi mencuba nasib.

Hari itu aku bertekad mahu menegurnya. Disebabkan tempat duduknya berhampiran pintu belakang, ia memudahkan aku melemparkan senyuman yang paling manis. Malam tadi hampir sepuluh minit aku berlatih mengukir senyum. Harap2 dapat mencuri pandangan dia. Ahh, keterlaluan sudah aku. Lima langkah lagi menghampiri, aku persiapkan diri. Sepatu diikat rapi, skirt paras lutut masih bebas kedutan, rambut ditocang tiga dengan warna getah yang menyerlah. Dia di sebelah kiriku dan secara automatik otot2 di pipiku menggerakkan rancangan yang sudah direncanakan lama. Dua ulas bibir yang munggil melengkuk ke bawah serentak sebaris gigi beratur rapi dan lesung pipit di pipi sebelah kiri menambah rencah manisan. Dia pandang aku, aku pandang dia. Kami berpandangan.

Lima minit sebelum loceng berbunyi aku sudah pun berada di pintu belakang kelasnya. Diam2 aku sembunyi di balik tembok. Dia mesti jatuh kali ini. Seorang budak lelaki yang tertonggeng dihadapan aku ini adalah dia. Untung saja aku tidak salah teka orang sewaktu hendak membentes. Dia mengaduh kesakitan, memandang aku dengan jelingan tajam, dia bingkas bangun dan meneruskan larian. Tiada apa yang aku fikirkan selain berlari mengejarnya. Sekeliling kami kini jalan hanya dinding bangunan sekolah. Kini hanya ada aku dan dia. Akibat terlalu panik dikejar, dia ketandusan idea melangkah lantas membawanya ke sini.

Aku merapatinya perlahan-lahan siring dengan langkahnya yang cuma menjarakkan diri. Tiba2 dia bertanya akan tarikh hari ini. Hari ini adalah 12 haribulan, aku bilang padanya. Dia mengeluh. Matanya berat memandang aku. Senyumannya lemah tapi dipaksa juga. Semakin pelik aku dibuatnya. Perlahan lahan dia menyinsing lengan bajunya yang menyembunyikan sesuatu. Seperti kulit2 tangannya ada yang mati dan mahu ditukar baru dan ia agak ekstrim. Cahaya matahari yang terik menampakkan lagi kulitnya yang bersinar. Ia seperti sisik. Lama kelamaan sel kulit mati memenuhi sekelilingnya. Tangannya kini bewarna keemasan kilat dan dia masih tersenyum lemah dan terus bertukar menjadi satu susuk yang besar.

Ular. Perkataan pertama yang terpancul dari mulut aku setelah sekian lama melopong memerhatikan transformasi mengujakan ini. Kepalaku semakin berat menampung pelbagai persoalan yang entah darimana munculnya. Mataku mengecil menahan perit bahang matahari. Dalam samar2 itu aku melihat dia yang kini menjadi seekor ular melingkari aku. Aku tidak mampu melakukan apa2 kerana kepalaku semakin pening. Dia mengucapkan selamat tinggal kepadaku dalam mod bisik. Sumpahan ke atasnya sudah berakhir dan dia boleh berjumpa dengan ahli keluarganya yang lain.

Tidak berapa lama kemudian aku pulih dari pening. Melihat sekeliling yang seolah olah tiada apa berlaku. Ada sebuah buku latihan yang kusam. Dalamnya tertulis sesuatu. Mari aku bacakan,

Rupa rupanya yang dipanggil pelajar itu tidak menyeronokkan ya ? Menyesal aku pilih semasa tukang sihir beri aku peluang menjadi manusia. Yang menggediknya lain, yang mengeja pelatnya lain. Yang bajet macam pasangan romantisnya lain. Padahal akil balingh pun belum lagi. Aku tercari cari mana perginya otak mereka dan apa yang memeranjatkan aku otak mereka ada dalam sebuah alat yang dipanggil telefon pintar. Ya, rupa rupanya zaman kini telefon yang lebih pintar dari manusia. Aku mula rasa takut dan sebab itu apabila loceng berbunyi aku terus pulang. Aku takut telefon pintar akan menyedut otak aku. Dua minggu yang aku lalui betul2 membazir. Dalam dua minggu itu aku sudah menyantap seekor lembu. Dan kau (menunjukkan aku yang sedang membaca) aku mula jatuh hati pada kau. Beberapa jam lagi kau bakal menjadi seperti ku. Tiada tangan dan kaki tapi masih punya otak untuk terus hidup. Sampai jumpa.

Aku tersenyum sambil melihat tubuhku perlahan lahan bertukar menjadi ular. Mungkin aku akan bahagia bersama dia nanti. Walau akalku bakal ditarik sekurang kurangnya otak ku masih berfungsi. Lima minit berselang, aku lengkag bercirikan seekor ulang. Menyusup ke semak belakang sekolah.


22 July 2013

Dari mana dendam itu kalau bukan dari kasih.

Perempuan yang dikenali sebagai Peah itu lesap tanpa bayang setelah menikam Mak Sara dihalaman rumah nya. Mak Sara sekuat daya yang tersisa cuba bangun meminta pertolongan. Rumahnya hujung kampung. Hanya purnama yang bantu menyuluh tanah. Mak Sarah tidak berdaya lagi lantas terjelupuk di bawah pohon mangga. Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi motorsikal ke arah Mak Sara yang sedang nyawa2 ikan. Pak Jais si ketua kampung merangkap  kumbang tunggal yang inginkan peristerikan Mak Sara selaku bunga yang separa layu tiba dengan sekampit beras dibakul motornya. Belum lagi motor ditongkat, Pak Jais melompat ke arah Mak Sara lantas memangkunya yang dibanjiri darah sendiri. Nombor anaknya didail pantas. Panggilan dijawab. Lima saat. Letak. Dalam sunyi kedengaran suara Pak Jais mengaji ayat lazim pada Mak Sara sambil tangannya menekan punca pendarahan itu. Sipi2 lagi mahu terkena pada kemaluan Mak Sara. Pak Jais tidak sempat bernafsu buas, hanya tuhan dipuja setiap lafaz.

Dalam perjalanan Mak Sara tiada bersuara. Rentak nafasnya mula hilang melodi. Pak Jais menepuk nepuk kerusi pemandu minta dipercepatkan. Jalan tanah merah dihias lubang2 nukilan alam. Pelesit jalanan pun tidak berani beradu nasib dekat jalan kampung ini. Keluhan Pak Jais serentak dengan dentuman dari arah depan. Tidak mahu tidak terpaksalah mereka keluar. Seorang wanita terjelupuk dalam parit dengan posisi kakinya di atas. Pak Jais kenal betis yang tidak dilindung batik itu. Tanda lahir persis tapak kaki kucing di sebelah kiri. Lampu kereta menjelaskan lagi corak yang tidak asing bagi Pak Jais dan anaknya. Peah mula sedarkan diri. Diusap usap kepalanya yang bertelur di tengah2.  Mata Peah membuntang luas melihat Pak Jais dihadapannya yang sedang meminjamkan pehanya untuk Mak Sara. Pisau yang tercampak dicari kembali. Jumpa. Sepantas kilat Peah berada di hadapan Pak Jais lalu di terjahkan pada mangsanya tadi sekali lagi. Kini di kepala. Selepas ini, Mak Sara tidak akan bernyawa lagi, bisiknya.

Keadaan seperti dalam mod perlahan. Semasa Peah menghayunkan pisau padanya, dengan kuasa tuhan Mak Sara tersedar. Dia meraba raba bekas tikaman tadi dan memaksa jari kanannya menembusi ke organ dalaman. Diraba raba dalam perit dengan mata tertutup menahan sakit akhirnya Mak Sara keluarkan kembali tangannya dan janin yang dikandunginya bersama sama tali pusat yang masih utuh. Purnama sekali lagi membantu Mak Sara mencari arah pisau itu dan diarahkan janin dalam genggamannya sebagai perisai. Darah kini di mana2. Pak Jais mengelap mukanya dengan lengan baju lantas melihat sekeliling. Peah melutut dihadapannya dengan rambut yang berjurai menyembunyikan rupa. Hanya sedu sedan yang kedengaran.

"Sekarang kau puas, Peah ? Sekarang kau puas tengok Sara mati depan kau ?" Pak Jais bersuara tenang menahan marah. Tangannya yang menggigil disembunyikan.

"Aku puas, Jais. Aku puas sekarang. Pandai pula betina tu menghulurkan anak kau dengan dia padaku, ya ?" Peah menyerigai menampakkan giginya.

Pak Jais hanya diam. Dalam masa yang sama, Peah mengacu pisau ke arah kepalanya sendiri.
"Sekarang baru aku boleh mati. Dendam aku sudah terjawab. Hahaha !" Sekali tikam, mata pisau sudah terkeluar dari belakang kepala Peah. Wajah Pak Jais dijamah darah lagi. Kini milik isterinya yang sah.

Anaknya yang pengsan dari tadi terus tidak sedarkan diri. Atau mungkin ikut mati.

21 July 2013

Malaikat bersepatu sarung.

Terima kasih
Atas hadiah yang mengelirukan
Yang menerbitkan senyum ini tanpa punca
Memaut pandangan pegun padanya tanpa sedar
Mulanya aku suka
hingga rasa keliru ini menerjah.

Sangkaan aku pada makhluk berkalung
Sifatnya persis malaikat agung
Kala sadar disapa bayang
Yang indah itu
si dara melambai riang.

19 July 2013

Untunglah.

Tenang tenang si muka air
Dilempar batu gelombangnya terbit
Sayang sayang si mata air
Ujian datang berpaut kait.

Kepada kekasih orang.

Bibir bicara kisahnya jiwa
Jiwa gelodak milik teruna
Nyata solo mengiring usia
Genangnya tidak ria pun tiada

Sebalik bayang ingin mencuri
Tanpa sedar mangsanya hati
Andai retak cermin sendiri
Moga rezeki peluang tak lari.

18 July 2013

Keringnya ayat romantis.

Buai itu bersuara
Hayunnya perlahan membisik kata
Dua jawaban hidang sedia
Malang, yang layak satu cuma

Apa yang punya rupa
Yang mulus kulitnya
Gerak gaya melawa
Dia saja bisa membuai ?

Perlahan lahan semakin perlahan
Akhir kaku terpadam hayunan
Hati perawan dalam buaian
Sarat budi melungsur ruangan.

15 July 2013

Sekadar menambah entri.

Malam itu layaknya bikin layar
Suara dari pekik pekik apa dari hati
Jelma dalam rupa yang acap kali terdamba
Wayang terus bikin cabar
Saat diri dipaku sepi
Hanya pada sang tunggal sisa bicara.

Masa masih terus melaju
Hentian ini bersarang pilu
Sabar masih teraju
Sayang takkan berlalu

10 July 2013

Instagram bukan katalog makanan.

Beda.
Ramadhan ini beda.
Buat aku pendosa tegar.
Yang malam dan siang serupa.
Bergelumang hina.

Beda.
Dahulunya ada perawan.
Hadir tanpa ditawan.
Pergi dia diapung awan.

Senantiasa ada melempar bayang.
Menutup muram suram menyerang.
Yang pasti beda tetap beda.
Hadir dia bikin aku reda.

08 July 2013

Tembakan acah acah.

Memang ada butang ikut
Kenapa tekan kalau hati kerut
Sebab awak hendak balasan
Tolak ikhlas dengan paksa awak tekan

Kita harap awak baca
Lihat awak tari atas kata
Kita harap awak leka
Hanyut dalam fantasi kita

Sebab angka pengikut
Bukan jaminan unggul
Tulisan kita dengan awak bertaut
Ikhlas kita bekarya mandul.

05 July 2013

Biasanya macam ini.

Melihat purnama teringkas
puisi buat adinda.

Merenung pasiran pantai
terukir syair panjang melampai.

Kerana luasnya dia di hati.
Hanya berhak dibandingkan
dengan penghuni alam yang suci.


03 July 2013

Sampah yang tertinggal.

Patuh angguk tunduk
Macam belatuk
Ketuk.

Buang ludah rata rata
Cara mudah nak tarik kata
Jilat.

Dua dalam satu
Dua dua serupa hantu
Diam buat batu
Makin beribu beranak dungu
Biar.