26 February 2014

Babak babak sungkur.

Chelaka.
Duri buana di mana mana.
Ruang selesa kian sempit.
Bukan cita mati terhimpit.
Walau lahad sebentuk tubuh.
Gemuruh.

20 February 2014

Jangan tunggu.

Siapa tahu bila maut tiba
Dalam kondisi diratah juga bisa
Saat sasaran itu di depan terbuai
Dan tangan tidak jauh untuk mencapai
Rela leher dijerut
Kambing hitam 
Peluang tiba tiada sahut
Bahagiakan jiwa nan kelam
Usia tanpa sukatan
Dunia ini singgahan. 

16 February 2014

Ratu buku.

Susunan pintu dimensi
Bersedia membawa lari
Diri
Dari realiti
Mula mula meninggi
Barangkali
Untuk pulang kembali
Tidak ambil peduli

12 February 2014

Bukan jangkaan.

Layar warna penuh amarah
Gembira dan pasrah
Dimakan rakus kumpulan semut merah
Musnah
Berdarah
Lelehan hitam putih menakluk ruang
Momen diulang tayang
Sayang
Belum puas membunuh resah
Angin jelita beralih arah

Persis celaka saat romantis menyala.

Tentang rasa yang bercampur
Dan masa kian lapang yang teratur
Jasad sendiri tiada daya dikawal rapi
Rekahan bibir membayang mula pergi
Separa sedar automatis kumpulan jemari
Bicara ini buat pemilik senyuman
Menunggu masa ruang mimpimu aku tawan

10 February 2014

Jujur yang berterabur.

Alahai lah jaka
Mengapa kaku sahaja
Petah bicara manis bahasa
Membunuh masa
Suasana tersolek mesra

Alahai lah jaka
Jelita apa kurangnya
Ramah menghadam interaksi
Calit manis dalam memori

Alahai lah jaka
Amat tipu perasan tiada
Jelita berita punya peluang
Kau angkuh mengintai ruang

Jelita apa setia
Jelita apa menduga
Dan magis jaka menanti
Tentangan mata berlaku kembali.

05 February 2014

Lengan bergari otak berpagar segi.

Dunia bangun dunia
Lihat kita sengsara
Punya semua tapi masih luka
Sisipkan cinta pada hati, katanya
Lihatlah parah musnah semua
Lekuk bucu hati sudah mampus
Jemari kita jua tidak mahu putus
Berkait bersulam janji kian hapus
Kubur itu buat kita
Bersamalah selamanya
Bersemadi suci
Saki baki cinta
Moga liang diterangi

04 February 2014

Acuh boneka tumpas.

Benang benang putih
Sepertinya tidak mahu engkau pergi
Tegar saja berdiri sekitar tubuh
Aku sudah bersih
Sudah bias dari najis provokasi
Kelihatan benang benang putih riak jatuh
Dari langit jemari raksasa muncul
Menari lentur antara jejari
Keluh, itu sahaja yang mampu timbul
Peraturan berselang seli
Antara perintah tuhan mahupun peribadi

Tempat kosong.

Senang saja kau lupakan.
Sedangkan angin yang membelai rambutmu
punya tempat pada kenangan.

Oh.
Mungkin saja engkau tidak pernah
cuba mengingati.
Hamba abdi penagih kasih infiniti.