31 January 2013

Pandangan yang terlindung.

Dia lelaki yang sayangkan matanya melebihi hati mahupun akal minda. Dia percaya yang tanpa dua biji mata ini, hati mahupun akal takkan dapat berfungsi sempurna. Justeru, mata lebih berhak disayangi lebih. Kedua matanya dididik dengan penuh dedikasi. Dia mengajar matanya melihat telus tembus ke hati setiap wanita. Hanya hati wanita. Dia percaya, hati adalah raja dalam diri. Dia percaya, hati punya kuasa kasih yang infiniti. Tapi pada suatu hari yang cerah, matanya gagal berfungsi sepenuhnya. Kecantikan kemanisan rupa paras sang juwita dari awal lagi sudah menjajah pandangan matanya. Dia terkesima mulai terawangan di langit. Perkenalan mereka mulanya seperti klise pasangan bercinta. Bunga mekar tak kira cuaca. Sampai satu masa dimana matanya kembali normal mampu melihat kembali hati wanita. Pada mulanya dia tidak percayakan apa yang dia lihat, tapi selepas tersentak dengan salutan emas yang membaluti hati perawan itu, dia tertunduk melutut ke bumi. Dirinya yang mengapung kini tidak lagi. Hati sang perawan disanjung bata bata emas dan helaian sutera syurga. Melihat dirinya yang tiada nilai yang sama dengan emas itu, dia pergi. Sampai mati dia akan terus percaya dengan matanya.

29 January 2013

Tayar yang bergolek.

Seakan lukisan.
Di atas jalan.
Kelajuan meneman.
Menanti kejutan.

Negeri orang.
Kita bertandang.
Lihat2 dan pandang2.
Esok bakal kami kenang.

Muka baru tunggu masa.
Jiwa raga ke sana jua.
Ingat tuhan setia ada.
Tanah asing bakal disapa.

24 January 2013

Suriram.

Suriram
Suriram ram
Suriram suramnya semalam
Aduhai suriram sayang
Lupakan semalam duka kita padam.

21 January 2013

Tangga normal untuk ketinggian yang tidak normal.


 Petang itu dia menaiki basikal kepunyaan tetangganya menuju ke taman. Dia tidak mengenakan selipar di kaki kerana dia merasakan sudah puas terapung diantara langit dan bumi. Pada masa yang sama dia masih lagi terapung di antara kedua-duanya. Sesudah sampai di taman, dia meletakkan basikal milik tetangganya di balik semak samun yang meninggi. Takut diambil orang. Kemudian dia berlari-lari anak sambil tertunduk menuju ke bongkah parit yang terbiar. Di sana dia mengeluarkan sesuatu dari dalam bongkah parit itu. Sesuatu yang boleh dipanjat, yang boleh dilipat-lipat. Tangga.
     Angin dari laut memukul-mukul seluruh deria yang ada. Mentari sudah berada pada sudut yang terbaik untuk dirakam panoramanya. Dan dia, dia sudah bersedia dengan tangga yang berdiri kukuh disokong batu-batan yang mengukuhkan kaki tangga. Bimbang kalau-kalau angin menjadi kuat dan menumbangkan tangga. Jam tangan ditilik untuk kesekian kalinya. Dia memegang palangan keempat. Kakinya mula memijak palangan yang pertama. Kini bermulalah pendakiannya. Sesekali dia pandang ke bawah sehingga hilang bayangnya di bumi, dia terusan saja mendongak meneruskan pendakian.
     Dia lelah. Sudah berapa jam dia daki tanpa henti. Dia tahu dia sudah hampir ke destinasi. Sekali sekala dia melihat seseorang melambai-lambai kearahnya dari atas. Saiznya sebesar separuh badan manusia dewasa. Mungkin lagi beberapa meter lagi dia akan sampai. Sampai pada mimpi dan impiannya. Sampai pada tujuan dam masa depannya. Dia sudah tidak sabar lagi. Langkahnya dipercepat. Dari satu palangan di langkah kepada dua palangan. Dia yakin bahagia akan berpihak padanya kali ini.
     Lagi lima palangan. Wajah pemilik aras tertinggi itu mula kelihatan. Manis. Tersimpan seribu satu rahsia. Tapi dia peduli apa. Yang penting dia mahu yang wanita itu tahu akan perasaan dia sekarang. Dia sedikit ego. Wanita itu mungkin tidak tahu yang dia macam itu. Kini dia berada betul-betul di depan pintu masuk aras tertinggi. Terlihat seorang wanita berlari-lari anak menujunya. Haruman bunga-bungaan yang mekar sekeliling laman. Dia terkesima sehingga dia tidak perasan yang palangan terakhir yang dia pijak itu sudah mulai rapuh.
     Dia tidak tahu yang bukan dia sahaja menggunakan tangga ini. Bukan dia seorang saja yang cuba mendaki sampai ke atas. Dia tidak sempat berbuat apa-apa melainkan membiarkan badannya menjunam menghempas bumi. Wanita yang berada di aras tertinggi itu duduk melutut di depan pintu sambil mulutnya memekik-mekik sesuatu yang dia sendiri tidak pasti akan bunyinya. Dia leka. Sepanjang junaman itu hanya wajah wanita itu yang memenuhi kotak fikirannya. Bila sampai masa nanti, wajah itu akan hilang jua kerana kepalanya bakal bersepai menjamah lantai.

20 January 2013

Bertuahnya kau.

Bertuahnya kau,
Baru niat, dia muncul depan mata.
Belum panggil, dia sahut dengan manja.
Belum sentuh, dia lentok dengan rela.

Bertuahnya kau.
Dia jaga sepenuh masa.
Dia bela sepenuh jiwa.
Dia korban segala harta.

Kalau tak tahu nak balas,
Kalau tak tahu nak belas,
Kalau tak tahu nak hias,
Beri aku tuah engkau
biar aku hempas.

19 January 2013

Jerat.

Madah ini bukan kosong
Askara ini bukan bohong
Terbina megah lorong masa
Untuk aku menjajah bahagia
Bersama mimpi separa nyata
Bersama sepi berduka lara
Abaikan kehadiran ini
Tiada apa yang kau alami
Hanya bahagia yang aku cari
Yang engkau zahirkan
Yang engkau lahirkan
Dari sanubari yang suci.

18 January 2013

Berkawan sang celaka.

Tiada siapa inginkan teman.
Kerjanya merosak debunga setaman.
Rontaan dan rintihan dipandang ringan.
Pujukan rayuan bersembunyi lengan.
Tiada siapa inginkan teman.

Semua tergambar telah dilakar.
Celaka sialan senyuman mekar.
Bergetar getar hati di gegar.
Yang rapuh terlantar.
Yang utuh terusan tegar.

Semua tergambar sudah dilakar.