10 October 2012

Saya tidak pernah sepi. Betul !

Saya tahu saya tidak kesunyian.
Saya tahu saya bukan keseorangan.
Saya juga tahu yang saya tidak akan berasa sendiri.

Kerana sepi itu ibarat suara yang nyaring.
Kerana saya punya bayang2 gelap yang melekat setiap hari.
Kerana sendiri itu sendiri adalah kawan saya.

Tikar sejadah kain pelekat,
Kostum indah menghadap Illahi,
Sendiri sorang sepi tersekat,
Basahkan lidah sucikan hati.

09 October 2012

Budak balik tusyen makin ramai dekat bandar.

Wahai bintang,
Molek sungguh kau bergayut di langit sana.
Langsung tidak merimaskan mata.

Wahai tapak sulaiman,
Sempurnanya pantai bila kau tersadai.
Menjadi pelengkap syurga dunia.

Wahai budak-baru-nak-up.
Makin buruk koridor bila kau orang hinggap.
Sakit mata aku, tak boleh nak belanja tingkap.

07 October 2012

Antara nampak dan tidak.

Saya tak nampak awak.
Bila saya pandang pelamin.

Saya tak nampak awak.
Masa saya melihat pertunangan.

Tapi,

Saya nampak awak.
Ketika majlis akad nikah.

Saya nampak awak.
Saat mulut saya melentur
nama awak.

04 October 2012

Kepada kakak posmen...

Jika tidak sampai kepada penerima,

1. Tolong kembalikan kalung ini kepada pemilik.
2. Pastikan kalung ini berada dalam keadaan seperti ada.
3. Jangan coba2 pakai kalung ini tanpa izin.

Jika berjumpa dengan penerima.

1. Pakai kalung ini di lehermu di hadapannya cepat2.
2. Pastikan dia nampak perbuatan kau sedang memakai kalung ini.
3. Bilang padanya, kau kini milik aku. Sepenuhnya.

Yang benar,
Pemilik kalung.

03 October 2012

Seperdua.

Raba raba poket.
Yang ada hanya habuk.
Selak selak dompet.
Yang tinggal kertas cabuk.

Tunduk malu - gagal bertaruh.
Diam kaku - tepukan gemuruh.

Kemeja dirobek robek.
Nur timbul sebelah kiri.
Butang bebas bergolek.
Terpampang merah segumpal isi.
Masih belum suntuk.
Taruhan sebenar baru bermula.



02 October 2012

Penunggu pelamin.

Pengantin perempuan itu berlari sekuat hati. Kakinya yang tersarung kemas dengan kasut tumit berkepala berlian tajaan sejak tadi sudah pun berpisah dengan pemakai yang bertuah. Orang ramai yang melihat kejadian itu hanya mampu melopongkan mulut masing masing. Tiada seorang pun yang mengejar mendapatkan pengantin perempuan tersebut. Dia berlari tanpa tujuan. Kelajuannya meningkat ketika menuruni jalan tar berbukit. Hampir saja dia tersadung jatuh terpijak gaun labuh bewarna putih keemasan yang dipakainya.

Penduduk kampung yang melihat langsung tidak diendahkannya. Sudah ada jahitan yang mula menetas pada bajunya yang ketat seperti sarung nangka itu. Panas terik matahari secara automatiknya mencairkan solekan yang menguasai seluruh wajah manis bertahi lalat di bibir. Di leretkan belakang telapak tangan kanan pada mukanya melintang dari pipi kiri hingga ke pipi kanan menambahkan lagi comot yang sedia ada. Pedulikan. Kini di hadapan pengantin wanita itu terpampang papan tanda yang tertulis "Kampung Purnama Penuh".

Wajahnya berubah. Senyuman mula terpancul di balik muka yang seram cantik dek solekan yang mencair. Dia mula memperlahankan pergerakan. Selang dua rumah dari papan tanda tadi terlihat tiga bangsal barjalur biru kuning. Pencariannya berakhir. Pengantin perempuan menyelinap masuk dalam kawasan rumah bersebelahan rumah yang hendak dituju. Dia perlu melalui pintu belakang tanpa ada yang menyedari, bisiknya dalam hati. Gaun labuh ditarik hingga ke paras lutut diperbetulkan posisinya. Dengan penuh yakin dia bermonolog,

"inilah rumahnya, aku yakin aku tidak salah lagi".

01 October 2012

Rehat.

Bersama angin membawa irama.
Alunan merdu melantun segenap jiwa.
Tembok2 masa membina empayar.
Memaksa hati relakan dia.
Sendiri di medan tempur.
Di bawah kepulan awan ilmu.
Yang dia cipta saban hari.