22 December 2012

Ini bukan cerita awak.

    Mimpi malam itu telah mengheret diriku mengharungi lautan yang setenang-tenang lautan. Tiada ombak mahupun badai. Saat itu nyawa tidak bersama-samaku. Ia bersemayan di langit sana. Berehat. Saat aku tersedar ketika mataku ditujah silauan cahaya mentari. Aku bangkit dengan kadar segera menepuk-nepuk baju dan seluar agar berpisah pasir yang menyinggah. Aku di sebuah pulau. Entah mana utara barat, itu bukan persoalan yang berat. Pertamanya aku mencari kiblat. Keduanya aku meneroka pulau yang tidak puas mata memandang. Perlukan dua puluh minit sahaja untuk membuat satu pusingan. Tiada orang. Aku sendiri. Hari sudah lewat petang. Cepat-cepat aku persiapkan kamar beradu. Dan malam menjelma menghadirkan jutaan bintang dan bulatan sempurna sang rembulan. Aku tersenyum. Esok siang aku perlu siap2kan makan minum, permainan agar aku tidak kesunyian. Dan malam, akanku perhabiskan masa dengan memandang tetap kelangit sambil memaksa nyawa berpisah dari jasad untuk ketemu pemilik bintang yang aku pagar dalam hati.

No comments:

Post a Comment